Azzizan Nordin Tekad Buktikan Diri, Tidak Mahu Terus Dilabel Pilihan Kedua

Azzizan Nordin

Kira-kira setahun lalu, Azzizan Nordin adalah antara muka baharu yang mendapat panggilan ke kem skuad kebangsaan bersama dua lagi pemain namun selepas itu, tiada lagi namanya tersenarai dalam pilihan utama oleh pengendali, Tan Cheng Hoe.

Kini, pemain yang telah berusia 25 tahun itu kembali ke dalam kem skuad kebangsaan selepas membantu pasukan Sabah menjuarai Liga Premier 2019 dan kehadirannya dengan misi tersendiri.

Menurutnya, dia tidak lagi mahu bergelar sebagai pilihan kedua buat skuad Harimau Malaya dan telah bersedia untuk bersaing merebut tempat selaku antara pilihan utama selepas ini.

“Selepas setahun, ramai pemain telah berjaya menempatkan diri dalam skuad kebangsaan. Saya tahu, saya berada paling bawah dalam senarai pilihan pemain tetapi saya bersedia untuk buktikan diri saya dan bersaing,” ujarnya yang dipetik daripada The Star.

“Setahun sudah berlalu [kali terakhir bersama skuad kebangsaan]. Banyak perkara yang perlu saya lakukan di sini. Kondisi fizikal saya dalam keadaan baik. Saya juga melalui musim yang baik bersama Sabah dengan menjuarai Liga Premier,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai panggilan menyertai skuad kebangsaan, bekas kapten Harimau Muda B yang beraksi di Liga Singapura pada tahun 2013 itu berkata, ia panggilan yang mengejutkan.

“Secara jujurnya, saya terkejut. Ketika itu, saya cuma berehat di rumah selepas kempen Piala Malaysia Sabah telah berakhir.

“Saya mendapat panggilan tersebut pada Isnin, dan saya berkemas dengan segera. Saya tiba pada lewat malam itu,” ujarnya lagi yang merupakan pemain yang beraksi di posisi tengah bertahan.

Sememangnya diluar jangkaan kerana skuad negara ketika ini dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 jadi, mungkin di dalam fikirannya, dia bukanlah pemain terbaik.

Namun, kecederaan kecil yang dialami Nor Azam Azih membuka ruang buatnya untuk kembali ke dalam kem latihan biarpun Tan Cheng Hoe memaklumkan masih berharap pemain tengah Pahang itu sempat pulih sebelum aksi kelayakan menentang Vietnam.

Azzizan Nordin telah memiliki satu penampilan antarabangsa iaitu ketika skuad negara meraih kemenangan 3-1 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan pada 10 September tahun lalu.

Untuk kempen kelayakan, skuad negara berada di kedudukan ketiga, di belakang UAE dan Thailand dengan tiga mata selepas mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dan tewas 1-2 kepada UAE dalam perlawanan kedua Kumpulan G.

Kredit Featured Image: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN