Bekas pengendali bola sepak berpengalaman, Mohd Azraai Khor Bin Abdullah mahu tiga serangkai barisan serangan negara iaitu Faisal Halim, Akhyar Rashid, dan Arif Aiman dikekalkan untuk kejohanan akan datang.
Terdahulu, tiga pemain tersebut tampil mencuri tumpuan ramai penyokong bola sepak negara kerana kelincahan dipamerkan mereka berjaya menghuru harakan pertahanan pasukan lawan.
Malah, dalam aksi Pestabola Merdeka yang berlangsung baru-baru ini juga menunjukkan ketiga pemain tersebut berjaya memberi impak tersendiri untuk mengukuhkan posisi serangan negara.
Bawah kendalian Kim Pan-gon, tiga pemain lincah itu berjaya mengembangkan lagi potensi mereka di pentas antarabangsa dan sudah tentu ia menarik perhatian Azraai mengenai isu tersebut.
Jelas Azraai, ketiga pemain itu berjaya menampilkan keserasian sangat tinggi dan perlu dikekalkan untuk aksi antarabangsa seterusnya bersama Harimau Malaya.
Selain memahami kehendak antara satu sama lain, kombinasi dipamerkan para pemain tersebut juga sangat bagus sehingga mampu menghasilkan beberapa gerakan berbahaya untuk mendapatkan jaringan.
“Kita tengok ketiga-tiga pemain muda ini ada keserasian, bagi saya satu petanda positif juga kerana mereka ini orang muda lagi.
“Apabila mereka boleh pamerkan permainan dalam peringkat antarabangsa kira alhamdulillah,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Gandingan membabitkan trio tersebut sebelum itu sudah pun digunakan Kim ketika aksi membabitkan pasukan negara menentang India dan berjaya memberi impak cukup positif untuk melayakkan Harimau Malaya ke pentas akhir Pestabola Merdeka 2023.
Pada masa sama, Azraai juga berharap supaya ketajaman posisi hadapan jentera serangan negara juga mampu dipertingkatkan dengan mereka tidak melepaskan peluang mendapatkan gol.
Malah, bekas pengendali utama Kedah Darul Aman (Kedah) itu juga mengakui kehilangan Paulo Josue sangat dirasai terutama sekali ketika mereka berdepan Tajikistan.
“Pemain perlu lebih tajam di hadapan gol agar peluang yang hadir itu dapat dapat dijaringkan gol.
“Ketiadaan Paulo Josue juga dirasai kerana pemain ini pakar dalam situasi bola mati. Seperti perlawanan malam itu, terdapat beberapa situasi bola mati tapi tidak digunakan dengan baik,” katanya akhir sekali.