Jurulatih tempatan, Azraai Khor Abdullah menegaskan yang penyokong bola sepak negara seharusnya janganlah terlalu meletakkan harapan tinggi kepada skuad Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada, lapor Sinar Harian.
Harapan yang dimaksudkan beliau adalah harapan terhadap skuad negara untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019.
Hal ini kerana bagi Azraai, beliau merasakan yang pasukan negara yang baharu sahaja dibimbing oleh jurulatih dari Portugal itu tidak sepatutnya diberikan tekanan yang terlalu tinggi dari peminat untuk berjaya.
“Untuk membentuk sebuah pasukan mantap memakan masa bertahun-tahun dan memerlukan kualiti pemain yang baik.”
“Buat masa sekarang, memang pasukan negara tidak mempunyai keupayaan yang baik untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan jangan dicemuh jika mereka gagal nanti.”
Apa yang diperlukan oleh Vingada dan juga Harimau Malaya adalah masa serta kesabaran dari para peminat.
Beliau sedar kemahuan tinggi penyokong bola sepak negara yang mahukan kejayaan serta merta dari skuad kebangsaan.
“Saya faham peminat sudah tentu mahu kejayaan, tetapi mereka juga perlu ingat tempoh masa Vingada mengambil alih pasukan dan Tunku Ismail mengambil alih FAM.”