Ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim mengharapkan permulaan cemerlang pada dua perlawanan awal Pulau Pinang pada pentas Liga Premier tidak akan menjadikan semua pemain bersikap terlalu selesa berikutan perjalanan musim ini masih terlalu jauh.
Tambah pemain berusia 33 tahun ini, sememangnya situasi sebegini amat diharapkan oleh semua pemain dan penyokong setia skuad Harimau Kumbang namun sebagai seorang pemain yang telah merasai asam garam bola sepak, dia mengakui bukan mudah buat mana-mana pasukan kekal konsisten sehingga penghujung musim.
Justeru, dia mahu semua rakan sepasukan agar sudah boleh melupakan apa yang terjadi di Stadium Bandaraya dan memberikan fokus dalam misi mencari tiga mata pertama di laman lawan apabila bertandang ke Manjung untuk menghadapi perlawanan ketiga Liga Premier, malam ini.
”Sebagai ketua pasukan dan kebetulan anak jati Pulau Pinang, saya memang berbangga dengan apa yang kami telah lakukan dalam dua perlawanan lepas apabila berjaya meraih kemenangan besar di hadapan penyokong-penyokong kami.”
”Tambahan ini pertama kali saya akhirnya membantu Pulau Pinang dan dengan permulaan yang cukup positif, sesiapa sahaja yang berada di tempat saya pasti akan rasa gembira.”
”Cuma saya tidak mahu permulaan baik ini buatkan kami terleka sedangkan masih banyak lagi perlawanan yang bakal kami tempuh tambahan apabila jadual perlawanan semakin rapat, situasi itu pasti akan menguji kami, ” katanya ketika dihubungi.
Enam mata yang dipungut Pulau Pinang merupakan permulaan terbaik skuad Pulau Pinang sejak sekian lama terutama tewas dalam dua pertama pada permulaan kempen Liga Premier, musim lalu.
Berdepan Perak II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Azmi tetap menghormati kemampuan lawan yang dibimbing Abu Bakar Fadzim walaupun masih belum memungut sebarang mata dalam dua perlawanan awal.
Sebagai pasukan dibarisi ramai pemain muda, Azmi percaya Perak II sudah pasti akan cuba mahu bangkit dan perkara itu tidak boleh diambil mudah oleh Pulau Pinang.
”Kami sama sekali tidak mengambil sikap terlalu yakin malah sebaliknya saya tahu biarpun pasukan lawan berstatus Reserve Team, itu tidak bermakna mereka tidak akan tampilkan tentangan yang sukar kepada kami.”
”Pemain-pemain muda Perak II pasti akan cuba mahu membuktikan sesuatu dan mahu meraih sesuatu ke atas kami, jadi kami kena waspada dan perlu berikan aksi yang bertenaga seperti dua perlawanan sebelum ini,” katanya.
Dalam masa sama, Azmi memberikan kredit kepada kredibiliti pengendali, Manzoor Azwira yang menjadi tunjang sebenar di sebalik kekuatan Pulau Pinang buat masa ini.
”Semua pemain cukup senang bekerjasama dengan Manzoor malah saya sendiri ada ‘chemistry’ dengannya dan faktor-faktor ini memberikan kami semangat berbeza untuk beraksi sebagai satu pasukan.”
”Saya rasa semua pihak cukup gembira di Pulau Pinang buat masa ini termasuk penyokong dan saya optimis aura positif ini mampu terus terpancar untuk dibawa sehingga ke penghujung musim,” ujar Azmi Muslim lagi.
Kredit foto: FA Penang