Bekas pertahanan skuad kebangsaan, Azmi Muslim bersyukur apabila khidmatnya masih diperlukan oleh sebuah pasukan Liga Super, Kuala Lumpur selepas dibelenggu isu tunggakan gaji dengan pasukan Singa Utara.
Bercakap dalam Stadium Astro, meskipun fokusnya kini adalah untuk membina nama dengan skuad warga kota, beliau tetap berharap tunggakan gajinya dapat diselesaikan dengan segera setelah menunggu sekian lamanya.
“Saya masih mempunyai tunggakan gaji tiga bulan dengan Perlis dan sebulan dengan Melaka.
“Saya sudah melaporkannya kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan dimaklumkan mereka juga telah memanjangkan laporan itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Namun, belum ada sebarang tindakan yang diambil setakat ini,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan menentang PKNP FC dalam saingan Liga Super sabtu ini, beliau perlu bersaing dengan bekas pemain Kedah, Fitri Omar untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Peluangnya dilihat masih cerah memandangkan Fitri Omar ketika ini dilaporkan masih dalam proses pemulihan kecederaan kaki.
Kehadiran Azmi Muslim dilihat mampu membantu memperkuatkan benteng pertahanan skuad Kuala Lumpur yang kini merupakan antara pasukan yang paling banyak bolos.
“Kami perlu bersaing secara sihat. Sesiapa sahaja boleh terpilih untuk diturunkan andai mereka memaparkan prestasi terbaik.
“Ia bukanlah masalah buat saya,” katanya.
Selepas 5 perlawanan, Kuala Lumpur kini berada di tangga tercorot Liga Super tanpa mencatat sebarang kemenangan dan situasi itu memaksa Yusri Che Lah meletak jawatan kerana bertanggungjawab di atas prestasi pasukan.
Tempat Yusri kini diambil alih oleh Chow Yee Fatt. Cuti panjang 3 minggu memberi tempoh masa mencukupi untuk Yee Fatt melakukan percaturan baru bagi memulihkan kembali prestasi pemain.
Selain ingin memastikan pasukan kekal dalam saingan Liga Super, misi mara ke suku akhir menjadi sasaran awal Yee Fatt di pentas Piala FA kali ini.
SemuanyaBOLA mengucapkan selamat maju jaya kepada Azmi Muslim dan semoga kehadirannya dapat membantu Kuala Lumpur mencapai kemenangan yang diidam-idamkan.