Bercakap kepada Semuanya BOLA, Azmi Muslim menyatakan yang memang ada terfikir untuk bermain bersama negeri kelahirannya, Pulau Pinang selepas mendapat tawaran rasmi daripada pengendali skuad Harimau Kumbang, Manzoor Azwira.
Lahir dan dibesarkan di Pulau Pinang, namun kariernya tidak bermula di Pulau Pinang sehinggalah kini setelah berusia 33 tahun, barulah Azmi Muslim kembali berbakti bersama negeri kelahirnnya itu untuk saingan Liga Premier musim 2020.
Antara pertahanan kiri terbaik negara satu masa dulu, malah pernah bermain di pasukan-pasukan besar seperti Kedah, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT), menjadikan Azmi Muslim sebagai antara pemain sensasi dalam negara.
Malah, pertahanan yang bermula sebagai pemain yang lahir daripada rancangan pencarian bakat di televisyen, MyTeam itu juga tampil hampir 20 kaps bersama skuad kebangsaan dan membantu Harimau Malaya mara ke final Piala AFF Suzuki 2014.
Kariernya bermula di skuad UPB-MyTeam, kemudian berhijrah ke Kedah, ATM, JDT, FELDA United, Selangor, PKNS, Melaka United sebelum menyertai pasukan bermasalah Perlis dan yang terakhir, beraksi di Kuala Lumpur pada musim lalu.
“Visi dan misi coach Manzoor [Azwira] itu, sama dengan kehendak saya,” jelas Azmi Muslim ketika ditanya mengapa memilih untuk kembali ke negeri kelahirannya kini.
“Saya pernah bekerja bersama coach Manzoor sebelum ini di Perlis. Saya dapat tawaran daripada coach Manzoor untuk kembali ke Pulau Pinang. Saya terfikir juga, saya dilahirkan di Pulau Pinang, tetapi tidak pernah bermain di Pulau Pinang.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga, why not saya kembali ke Pulau Pinang, berbakti untuk negeri saya sendiri,” tambahnya lagi mengenai perpindahannya.
Ketika ditanya mengenai ura-ura yang beliau akan dilantik menjadi kapten untuk saingan Liga Premier musim hadapan, pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 bersama skuad B-22 negara itu berkata beliau tidak ambil pusing mengenainya.
Azmi Muslim turut menyatakan yang jika dirinya dilantik sebagai kapten, beliau akan beri segala yang termampu untuk membantu Pulau Pinang mencapai misi untuk layak ke Liga Super 2021.
“Bagi saya, persoalan siapa kapten itu, tidak kisah siapa-siapa yang jadi kapten. Kalau saya kapten, insyaAllah saya akan beri yang terbaik, termampu saya untuk memacu Pulau Pinang mencapai misinya,” jelasnya panjang lebar mengenai isu tersebut.
KREDIT FOTO: FA PENANG