Bekas Kapten Pulau Pinang, Aziz Azizan ‘Lipas Kudung’ Meninggal Dunia

Aziz

Bekas kapten bola sepak Pulau Pinang di era 90-an, Abd Aziz Azizan telah menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 54 tahun di Hospital Pulau Pinang pada pukul 4.30 petang Rabu.

Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu telah dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit ketika beraksi dalam satu perlawanan bola sepak pada petang Ahad.

Selepas dikejarkan ke Hospital Balik Pulau, Allahyarham kemudian koma dan dikesan mengalami darah tinggi pada pagi Isnin sebelum dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Pulau Pinang.

Menurut posting di laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Bagan Lebai Tahir, Teluk Air Tawar dan akan disemadikan pada pagi ini.

Allahyarham telah meninggalkan seorang isteri dan 11 anak.

Menurut laporan The Star, berita mengenai Aziz yang koma telah mengejutkan rakan-rakan sepermainannya seperti P. Ravindran yang menyatakan terkejut dengan perkhabaran itu.

“Bulan lalu, saya berada di Pulau Pinang untuk kejohanan veteran dan kami bercakap. Dia kelihatan agak lemah dan saya ada bertanya kepadanya mengapa dia kelihatan berbeza.

“Tetapi ketika bermain, dia kembali seperti biasa. Dia cukup laju walaupun telah berusia 54 tahun. Dan apabila diberitahu yang dia dimasukkan ke hospital, saya terkejut,” ujar Ravindran lagi.

Bekas-bekas pemain seperti Jelani Wilastra, Ahmad Yusof, Kamal Khalid, Fauzi Ibrahim, Zahidi Shoib dan Nordin Kamis dilaporkan telah mengunjungi Allahyarham di hospital sebelum ini.

Jurulatih skuad Piala Presiden Kedah, Azraai Khor Abdullah turut mengunjunginya dan menegaskan yang pemain-pemain veteran perlu menjaga kesihatan terutamanya ketika sedang beraksi.

“Seakan-akan mini reunion di hospital dan saya telah menasihati kepada rakan-rakannya supaya lebih berhati-hati apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

“Adakalanya apabila sedang bermain, kita terlupa akan umur dan keadaan fizikal masing-masing,” jelas Azraai lagi yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

Sumbangan yang telah disampaikan oleh Azraai tersebut adalah daripada Persatuan Bekas Pemain Kedah (KEFA).

Allahyarham adalah antara pemain yang pernah digelar ‘Lipas Kudung’ kerana kepantasan dan kelincahannya di dalam padang serta pernah menjulang Piala Malaysia ketika bersama Kedah.

Buat keluarga Allahyarham Abd Aziz Azizan, kami dari Semuanya BOLA ingin merakamkan ucapan takziah.

Kredit Foto: FA Penang

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN