Azamuddin Akil atau dipanggil sebagai ‘Alex’ mengesahkan beliau tidak akan menyarung jersi Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Bekas penyerang Pahang dan JDT itu berkata kepada Berita Harian menjelaskan beliau kini sedang mencari pasukan baharu selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melanjutkan lagi kontraknya.
“Saya boleh sahkan tidak lagi menyarung jersi Selangor musim depan selepas pengurusan FAS tidak melanjutkan kontrak.
“Oleh itu, saya kini menimbang dua tawaran pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk meneruskan karier saya.
“Setakat ini, belum ada kata putus kerana masih lagi di peringkat awal dan berharap keputusan untuk bersama pasukan baru musim depan akan membantu meningkatkan kembali prestasi saya,” katanya.
Kehadiran Alex diharapkan menguatkan lagi jentera serangan pasukan Selangor dan membentuk gandingan mantap pemain muda dan senior bagi menghadapi cabaran yang lebih sukar dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Namun, pemain berusia 33 tahun itu tidak begitu menyerlah ketika bersama skuad The Red Giants apabila kerap tidak membarisi kesebelasan utama kerana mengalami kecederaan buku lali kiri.
Ketika ditanya mengenai tahap kecederaan itu, Alex mengesahkan beliau sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk mengembalikan prestasi terbaiknya.
“Saya percaya kepada rezeki dan berharap musim 2019 akan memberi kekuatan dan keyakinan untuk kembali berada dalam kesebelasan utama,” katanya.