Pemain sayap menyerang Kedah, Azamuddin Akil percaya beliau mampu membantu memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda serta lebih membantu Kedah pada musim hadapan.
Pada musim 2019, pemain berusia 34 tahun itu lebih setengah musim memanaskan bangku simpanan apabila sedang melalui proses pemulihan kecederaan yang dialaminya. Selain itu, lima bulan pertama musim lalu, Azamuddin Akil juga berada di Kem Helang Merah tanpa menerima sebarang pembayaran gaji.
Kedah membantu daripada segi khidmat fisioterapi dan perubatan buatnya dan untuk perbelanjaan lain seperti rawatan, pemain yang berasal dari Pahang ini terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri.
Untuk musim 2020, Alex mahu memberi lebih sumbangan apabila Kedah akan beraksi di kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020. Namun, menurutnya dipetik daripada The Star, persaingan untuk kesebelasan utama musim ini lebih mencabar berbanding musim lalu dengan kehadiran pemain-pemain baharu ke dalam pasukan.
“Saya lihat persaingan merebut kesebelasan utama akan menjadi lebih sukar tetapi saya tahu kemampuan dan kualiti yang mampu saya berikan kepada pasukan,” ujar Azamuddin Akil.
“Saya terlepas sebahagian musim lalu kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan. Latihan pra-musim kita sudah bermula seminggu yang lalu dan kita juga sudah berlatih dengan pemain-pemain baharu. Semuanya nampak baik dan pasukan sudah diperkemaskan untuk menghadapi musim hadapan,” jelasnya.
Only the strong💪 pic.twitter.com/iev8IVCKQG
— Official_KedahFA (@official_kfa) December 10, 2019
Kedah telah membawa masuk pemain-pemain berpengalaman ke dalam pasukan seperti penjaga gol Sharil Saari, Irfan Zakaria, Hadin Azman, Jafri Chew, Tam Sheang Tsung dan Zulhairi Zulkepli.
Helang Merah juga mengekalkan majoriti pemain-pemain musim lalu seperti kapten Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, David Rowley, Ifwat Akmal, Azmeer Yusof dan Zaquan Adha Abdul Razak.
Selain itu, gandingan import di benteng turut dikekalkan iaitu Renan Alves dan Shakir Hamzah selain pemain seperti Khairul Helmi, Alif Yusof, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Farhan Roslan.
“Saya salah seorang pemain senior dalam pasukan dan berharap akan dapat membantu memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kerana menyambung kontrak saya dan saya akan cuba sebaiknya memberi sumbangan untuk musim hadapan,” jelasnya yang sudah pulih.
Kedah akan berdepan Tai Po FC di Stadium Darul Aman pada 21 Januari depan sebagai pembuka tirai saingan musim 2020, iaitu dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL 2020.
Kredit Featured Image: Kedah FA