Pemain skuad Piala Belia Pulau Pinang, Azam Halim berharap impiannya untuk menyarung jersi skuad senior Harimau Kumbang akan tercapai satu hari nanti.
Azam Halim antara pertahanan muda berpotensi tinggi untuk menjadi pemain terbaik di pentas bolasepak tempatan jika beliau diberikan peluang.
Sebelum ini, Azam telah berjaya mengisi kesebelasan utama skuad Belia Pulau Pinang selepas mendapat kepercayaan Ketua Jurulatih pasukan, Norafendi Taib berikutan aksi konsisten yang dipamerkanya bersama pasukan.
Ketika ditemubual Semuanya BOLA, Azam menyatakan hasratnya untuk beraksi bersama skuad senior Pulau Pinang pada masa akan datang.
“Sebagai pemain bola sepak, tentunya hasrat saya adalah ingin menyarung jersi pasukan senior, ianya sudah lama menjadi impian saya sejak kecil lagi, jika diberikan peluang, tentu saya tidak akan mempersia-siakannya.”
Biarpun akui, persaingan antara pemain lain amat sengit, namun pemain berusia 19 tahun itu bersedia bekerja keras untuk memberikan prestasi terbaik sepanjang latihan.
“Memang menjadi impian saya selama ini adalah untuk mendapat tempat dalam pasukan senior, walaupun diakui saingan dalam kalangan pemain lain amat sengit, tetapi saya yakin satu hari nanti saya akan berpeluang untuk mencapai matlamat saya.” ujarnya kepada SemuanyaBola.
“Untuk menjadi yang terbaik, saya harus berusaha meningkatkan prestasi dalam persembahan kerana ia menjadi elemen yang mampu memikat jurulatih (Zainal Abidin) dan paling utama, menunjukkan tahap disiplin yang terbaik .”
Selain itu, Azam juga tidak menafikan bahawa banyak perkara perlu dipelajarinya selain mendapatkan nasihat daripada jurulatih dan rakan-rakan yang lebih senior.
“Saya juga menganggap diri ini masih cetek pengalaman, nasihat dari rakan-rakan senior dari saya juga penting untuk memperbaiki kelemahan dalam diri.”
Musim depan, Azam Halim telah dinaikan pangkat apabila namanya disenaraikan dalam skuad Piala Presiden 2018. Ini menjadi pemangkin bagi beliau untuk mencapai impiannya satu hari nanti. Semoga berjaya.