Pemain pertahanan kental, Azam Azmi Murad mengakui beliau masih belum berpuas hati akan prestasi semasa bersama Terengganu serta memasang tekad untuk terus berusaha demi mencapai momentum terbaik semula.
Terdahulu, Azam menjadi antara pemain yang dihimpit isu kecederaan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula sehingga menyaksikan beliau terlepas beberapa aksi awal buat Sang Penyu serta untuk Harimau Malaya.
Tampil selaku antara pertahanan kanan terbaik negara pada saingan musim lalu, sudah tentu ketiadaan Azam pada awal musim jelas dirasai oleh segelintir penyokong setia Terengganu.
Walaupun begitu, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila Azam akhirnya kembali mencipta penampilan sulung musim ini ketika dibawa turun beraksi menentang Sabah bagi saingan Piala FA.
Diturunkan sepanjang tempoh 90 minit, secara keseluruhan prestasi Azam boleh dianggap sangat positif walaupun masih belum mencapai momentum lalu sebelum mengalami kecederaan.
Malah, Azam juga menegaskan beliau akan terus berusaha untuk memastikan dirinya kembali mendapat tempat bersama Terengganu pada aksi mendatang terutama di pentas Piala FA.
“Alhamdulillah semakin hari saya semakin bersemangat untuk terus berlatih dan memberikan yang terbaik di atas padang selepas agak lama berehat akibat kecederaan.
“Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi oleh jurulatih setiap kali turun beraksi dan tidak sangka saya dapat beraksi penuh tempoh hari untuk membantu pasukan raih kemenangan.
“Apa pun, saya masih belum berpuas hati dan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan momentum terbaik seperti biasa dan yang paling penting adalah perlu mengelakkan daripada sebarang kecederaan lagi selepas ini”, jelas pemain Harimau Malaya itu menerusi laporan MFL.
Sebelum itu, Sang Penyu tidak menghadapi sebarang masalah di laman sendiri untuk mengetepikan cabaran Sabah menerusi keputusan 4-0 dalam saingan suku akhir pertama kejohanan tersebut.
Bakal beraksi di Likas pada aksi seterusnya, Azam mengakui ia bukan suatu perlu diambil mudah oleh beliau serta rakan sepasukan lain kerana aura akan ditampilkan lawan pastinya berbeza.
“Walaupun kita dah ada 4 gol untuk dibawa ke Sabah, tetapi kita masih ada 90 minit untuk memastikan kemenangan terus menjadi milik Terengganu sekaligus layak ke sseparuh akhir.
“Apa sahaja boleh berlaku dan sudah tentu Sabah FC lebih bersemangat untuk kembali bangkit dan tidak akan memberi laluan mudah kepada kita.
“Tetapi, saya percaya kita di Terengganu FC akan lebih waspada kali ini dan tidak akan melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu nanti”, katanya akhir sekali.