Keputusan seri 1-1 dicatatkan pada aksi minggu ketiga AXA KVL M5 diantara Spirito FC menentang Sala O FC yang berlangsung di Stadium Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Perdana.
Sala O FC yang dilihat sebagai pasukan pilihan pada perlawanan yang berlangsung malam tadi terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keenam.
Gol tersebut terhasil selepas pemain sayap kanan, Muhammad Ammar Abdul Aziz dengan pantas meninggalkan pertahanan Spirito FC dan kemudiannya membuat hantaran lintang yang berjaya disudahkan oleh Muhamad Safuan Sharudin.
Selepas jaringan tersebut, tiada serangan atau ancaman berbahaya dapat dilihat kecuali percubaan dari pemain import Spirito FC, Muhammed Jawo pada minit ke-23.
Bagaimanapun, percubaan dari luar kotak penalti itu mudah ditangkap kemas penjaga gol Sala O FC.
Perlawanan babak kedua bersambung menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang lebih menghiburkan.
Sala O FC terlepas peluang terbaik untuk menambah jaringan apabila Ammar yang hanya berhadapan penjaga gol, melepaskan sepakan lambung yang terkena palang gol pada minit ke-45.
Berselang seminit kemudian, Spirito FC kembali menyamakan kedudukan menerusi Muhammed Jawo.
Berpunca dari hantaran lintang di sebelah kiri pintu gol Sala O FC, Jawo yang tidak dikawal dengan mudah menolak masuk bola bagi menceriakan kem Spirito FC.
Aksi tambah menarik apabila gerakan yang dicipta Sala O FC pada minit ke-47 menerusi Muhamad Shafuan hampir sekali lagi meletakkan mereka kembali di hadapan.
Namun, sepakan ‘placing’ dari Shafuan setelah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan lawan sedikit tersasar dan dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Spirito FC bagi menyelamatkan keadaan.
Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Namun, mata yang diraih sedikit sebanyak dapat mengubati duka Sala O FC dan Spirito FC yang tewas pada minggu lalu.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Muhammed Jawo (Spirito FC)