Pasukan pilihan utama, Axis O2 FC mempamerkan persembahan buntu di depan gol sebelum diikat 0-0 oleh Sala O FC dalam perlawanan kumpulan A AXA KVL M5 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya malam semalam.
Menepati label sebagai pasukan pilihan, Axis O2 jelas pasukan lebih dominan dengan penguasaan bola. Sala O pula lebih selesa bertahan dengan garisan defensif rendah dan menyerap asakan Axis O2 sebelum melancarkan serangan balas pantas.
Strategi defensif Sala O ini nyata berjaya menyukarkan Axis O2 untuk membuat percubaan. Hanya apabila pertahanan Sala O, Suhaimi Suhaidi membuat kesilapan pada minit 7’, barulah Axis O2 dapat membuat percubaan tepat yang pertama menerusi sepakan percuma Suhaimi Ahmad.
Jika ada satu aspek positif mengenai jentera serangan Axis O2 pada separuh masa pertama adalah kesukaran bek kiri Sala O, Ali Marji untuk mengawal kelicikan dan skil pemain sayap kanan Ahmad Shafeez. Selain daripada itu, peluang-peluang Axis O2 hanya terhad kepada percubaan jarak jauh sahaja – meskipun setelah mereka memasukkan penyerang import, Desmond Amadi yang menggantikan Farhan Samsudin.
Sebaliknya bagi Sala O, taktikal defensif mereka nyata membuahkan hasil. Beberapa kali mereka dihadiahkan peluang menyerang balas jentera pertahanan lawan yang diketuai oleh pasangan Mohamad Shahizan dan Irfan Zamir.
Bagaimanapun hantaran-hantaran terakhir mereka kerap kali tidak tepat – sekaligus menafikan peluang buat 2 penyerang Sala O, Ammar Abdul Aziz dan Hairul Hazrien untuk menguji penjaga gol Axis O2, Noor Azrin.
Apabila Sala O berjaya membuat hantaran berjaya kepada 2 penyerang mereka, teknik penyudah mereka pula mengecewakan. Inilah yang terjadi pada minit ke-19 apabila rembatan Ammar Abdul Aziz terlalu lemah dan mudah diselamatkan oleh Noor Azrin.
9 minit kemudian, Sala O berjaya sekali lagi mendapat peluang menerusi serangan balas. Bagaimanapun percubaan Hairul Hazrien berjaya diselamatkan oleh Noor Azrin sekali lagi.
Masuk separuh masa kedua, Axis O2 mula membuat pertukaran pemain secara besar-besaran dalam usaha mereka untuk membuka akaun gol.
Bagaimanapun ketumpulan penyudah yang ditunjukkan oleh penyerang gantian mereka, Razzmir Ashraff – ditambah pula dengan kekentalan kubu pertahanan Sala O yang diketuai oleh Norazizi Mohamed – membuatkan Sala O berjaya mencuri 1 mata apabila wisel penamat dibunyikan.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Norazizi Mohamed (Sala O)