AXA KVL M5: KL Gators ‘Libas’ FC Serayan 2-0 Dalam Padang Basah

KL Gators mengutip kemenangan pertama mereka dalam kempen AXA KVL M5 selepas berjaya menewaskan FC Serayan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat di Stadium MPAJ semalam.

FC Serayan yang terkenal dengan corak permainan yang direct nyata mendapat faedah bermain dalam keadaan basah. Meskipun penguasaan bola saling beralih antara kedua-dua pasukan, Serayan lebih banyak mencipta peluang berbahaya.

Seawal minit ke-6 lagi, FC Serayan mengancam melalui sepakan penjuru di sebelah kanan. Sepakan yang diambil oleh Muhd Farhan berjaya menemui kepala Amirul Ibrahim, tetapi tandukan Amirul jauh terlalu lemah untuk mencemaskan penjaga gol KL Gators, Syed Adney.

5 minit kemudian, kesukaran pertahanan KL Gators bermain dalam keadaan padang yang basah terbukti mengundang masalah. Berpunca daripada handball Loh Wen Ken ketika mengeluarkan bola dari kubu pertahanannya, pengadil menghadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti Gators. Bagaimanapun sepakan percuma tersangkut di dinding pertahanan sebelum dapat menguji Syed Adney.

FC Serayan sekali lagi menguji kubu KL Gators pada minit ke-13. Kali ini melalui larian dan gelecekan baik Ahmad Kushaireen di sayap kiri, FC Serayan membolosi kubu Gators sekali lagi. Tetapi Kushaireen mengambil terlalu banyak sentuhan sebelum membuat percubaan – membuatkan rembatan beliau sempat dihadang oleh pertahanan Gators sebelum Syed Adney dapat bertindak.

Kecenderungan penyerang FC Serayan untuk mengambil terlalu banyak sentuhan dalam kotak penalti hingga memberi masa kepada pertahanan KL Gators untuk menghadang rembatan seakan menjadi tema pada separuh masa pertama. Pada minit 22’, giliran percubaan Nor Amirul Syamir pula dihadang oleh pertahanan Gators.

Percubaan pertama KL Gators hanya tiba pada minit 25’ ketika FC Serayan cuba melancarkan serangan balas. Pemain tengah mereka, Toshiya Hosoe berjaya merampas bola dari pemain FC Serayan sebelum ‘mencucuk’ hantaran cantik dari channel kiri ke laluan larian Ryan Wong. Bagaimanapun Ryan – seperti penyerang Serayan – mengambil terlalu banyak sentuhan sebelum membuat rembatan sehingga membolehkan penjaga gol lawan, Kamal Asyraf mendakap kemas percubaannya.

Di sebalik serangan bertali arus dari FC Serayan hingga babak awal separuh masa kedua, mereka masih tidak mampu mencari gol pembukaan mereka. Sebaliknya KL Gators yang bertahan sepanjang separuh masa pertama terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan.

Berpunca daripada satu serangan balas pada minit 43′, Amirrul Adli berjaya menampan bola hantaran pepenjuru (diagonal) Daniel Raj sebelum menewaskan Kamal Asyraf dalam situasi 1v1. Barangkali jika bek kiri FC Serayan, Hasriq Harun berjaya membaca dan menyekat hantaran pepenjuru tersebut, mungkin gol Gators tersebut dapat dihalang.

5 minit kemudian, KL Gators yang secara tiba-tiba berjaya mendapat momentum serangan selepas kemasukan Razeen Khalid di barisan serangan mereka, memperolehi satu lagi peluang. Kali ini giliran Kizito Somadina pula mendapat peluang 1v1 berdepan Kamal Asyraf. Ketika semua penonton di stadium pasti Kizito akan menjaringkan gol, Kamal Asyraf melakukan aksi penyelamat yang sangat cemerlang untuk memastikan kedudukan jaringan kekal 0-1.

Penyerang KL Gators, Kizito Somadina (kanan) cuba melarikan bola daripada kawalan pertahanan FC Serayan.

FC Serayan turut memperolehi detik-detik genting mereka sendiri untuk menjaringkan gol. Pada minit 51’, sepakan percuma mereka di bucu kotak penalti kiri hampir-hampir ditampan untuk gol penyamaan. 5 minit kemudian, Shaza Badri berjaya menewaskan pertahanan Gators – tetapi tidak berjaya melepasi Syed Adney.

KL Gators sekali lagi memberi pengajaran kepada FC Serayan tentang cara menyudahkan peluang yang dicipta pada minit ke-62 apabila Kizito Somadina berjaya menyudahkan dengan tenang hantaran lintang Shahir Khalid di sayap kiri.

Ketinggalan 0-2 ketika masa semakin suntuk, FC Serayan semakin kering idea untuk merobek KL Gators yang semakin selesa bermain apabila keadaan padang semakin kering selepas hujan berhenti pada rehat separuh masa pertama. Kemenangan pertama Gators ini pastinya akan menyuntik semangat Toshiya Hosoe dan rakan-rakan sepasukannya.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Syed Adney (KL Gators)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN