CNA FC melakar kemenangan kedua dalam saingan AXA KVL M5 selepas menundukkan Shah Alam Antlers 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, malam semalam. Kedua-dua pasukan mahu memburu kemenangan kedua selepas masing-masing mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama minggu lalu.
Penyokong yang hadir disajikan dengan corak permainan menarik apabila kedua-dua pasukan beraksi dengan pantas.
Namun begitu perlawanan sedikit dicemari dengan aksi keras serta perbalahan yang timbul, mujur pengadil perlawanan berjaya mengawal keadaan dengan baik.
Kesilapan pemain pertahanan kiri Shah Alam Antlers, Khairil Iskandar ternyata memakan diri apabila hantaran ke belakang yang lemah dilakukannya berjaya dirampas pemain A. Kisshaen.
Raj Kumar yang kemudiannya mendapat umpanan hasil kesilapan tersebut, melepaskan rembatan yang berjaya mengelirukan penjaga gol Antlers, Muhammad Effendy Razali untuk membuka tirai jaringan buat CNA FC pada minit ke-8.
Shah Alam Antlers yang cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan terlepas peluang selepas hantaran cantik daripada Mohd Hafizzudin Hassan terus mencari Muhammad Salihan Jamil. Salihan yang meluru pantas menuju ke pintu gol CNA FC terus melepaskan rembatan yang sedikit melewati palang gol.
Shah Alam Antlers sekali lagi dirundung malang akibat kesilapan di jentera pertahananan pada minit ke-49.
Salah faham diantara Mohd Luqman Hadi dan Muhammad Azeem Azhar membuka ruang buat penyerang CNA FC, Raj Kumar untuk meledakkan gol kedua peribadinya yang sekaligus menewaskan Effendy.
Corak permainan keras kembali dipamerkan selepas itu apabila terdapat beberapa terjahan berbahaya dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan. Shah Alam Antlers bagaimanapun masih tidak berputus asa dalam memburu jaringan. Tetapi usaha mereka masih gagal memberikan hasil yang positif.
Perlawanan turut dicemari dengan layangan kad merah setelah Wan Muhammad Izzat dilayangkan kad merah selepas beliau dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-70.
Malam malang buat Shah Alam Antlers menjadi lengkap apabila dua peluang menarik mereka pada lewat permainan juga dinafikan susulan kekentalan penjaga gol CNA FC, Mohammad Al Imran Ishak.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Raj Kumar (CNA FC)