Ampang United memperoleh tiga mata berharga selepas menundukkan FC Serayan 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Perdana, kelmarin.
Tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai perlawanan di babak pertama walaupun kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang bagi memburu jaringan sejak awal permainan.
Bagaimanappun, dua jaringan masih berjaya dicipta pada babak pertama masing-masing satu gol buat setiap pasukan.
Muhammad Azhar Mohamad Arif berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-15 selepas beliau berjaya menerima bola dalam kawasan penalti, tidak mensia-siakan peluang dengan melepaskan sepakan menggunakan ‘outside foot’ yang terus menewaskan penjaga gol FC Serayan, Muhammad Azmi Zulkiflee.
Ketika perlawanan sedikit hambar apabila bola sekadar berlegar-legar di tengah padang, pemain tengah FC Serayan, Assautul Azam Jamhor mencuri tumpuan semua selepas beliau berjaya menjaringkan gol dari tengah padang pada minit ke-33.
Tanpa disangka-sangka, pemain yang berusia 24 tahun itu mengambil keputusan untuk melakukan percubaan terus dari tengah yang sekaligus membuatkan penjaga gol Ampang United, Mohd Fadhil Ab Hamid ‘lemas’.
Ampang United mempamerkan aksi lebih kemas pada babak kedua sehingga berjaya mencipta dua jaringan.
Berpunca dari gerakan solo yang dilakukan Muhammad Azhar, Ampang United kembali mendahului pada minit ke-58 selepas pemain berjersi nombor 2 itu meledakkan rembatan untuk gol kedua.
Jaringan kedua peribadi oleh Azhar itu terus meningkatkan moral para pemain Ampang United yang kemudiannya berjaya mematikan api perjuangan FC Serayan menerusi jaringan ketiga pada minit ke-68 menerusi Akbar Sanjani Nasution.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Eneh Cletus (Ampang United)