Selepas memulakan musim liga dengan kekalahan 0-2 (vs Ultimate FC), Gombak FA yang diinspirasikan oleh 2 pemain senior bangkit mencatat kemenangan pertama dengan membelasah Sala O FC 4-0 dalam perlawanan minggu ke-2 liga di Stadium MPAJ.
Gombak FA membuat 2 pertukaran utama daripada kesebelasan utama yang tewas 0-2 kepada Ultimate FC pada minggu lepas. Jika pada minggu lepas mereka dibarisi 100% oleh pemain-pemain berusia 18-20 tahun, kali ini mereka menurunkan dua pemain berpengalaman – Fazli Baharuddin di sayap kanan dan P. Surain di pertahanan tengah.
Kemasukan 2 pemain berpengalaman ini nyata berjaya menyuntik banyak elemen keyakinan dalam permainan Gombak FA terutamanya bagi Furqan Azri dan Hanis Pazli di jentera tengah serta Faizal Haziq di jentera serangan.
Bagaimanapun dominasi Gombak FA pada babak awal separuh masa pertama agak terganggu oleh taktikal ultra-defensif Sala O FC yang membariskan 5 pertahanan dan bertahan dengan 9-10 pemain di belakang bola.
Ini membuatkan peluang-peluang Gombak FA hanya terhad kepada percubaan jarak jauh seperti yang terjadi pada minit ke-7 menerusi rembatan Royizzat Daud dan minit ke-16 menerusi percubaan Furqan Azri. Meskipun dengan kelincahan Faizal Haziq mengetuai jentera serangan Gombak FA, Sala O masih mampu menangani ancaman mereka.
Gombak FA memerlukan situasi sepakan percuma untuk menjaringkan gol pembukaan mereka. Berpunca daripada satu serangan balas pantas Gombak FA yang mengundang kesalahan DOGSO (denying an obvious goal-scoring opportunities) yang dilakukan oleh kapten Sala O, Norazizi Mohamed kepada Faizal Haziq, Furqan Azri berjaya menanduk masuk sepakan percuma yang terhasil pada minit 23’ daripada kesalahan tersebut.
Ketinggalan 0-1 dan bermain dengan 10 pemain selepas Norazizi melakukan kesalahan DOGSO, Sala O tiada pilihan lain selain bertahan untuk baki perlawanan. Pujian harus diberikan kepada Sala O kerana berjaya menidakkan gol kedua Gombak FA sehinggalah tiba minit 47’.
Berpunca daripada hantaran lintang kanan, Faizal Haziq berjaya melepasi kawalan pertahanan Sala O untuk menampan mudah gol kedua Gombak FA. Bagaimanapun gol Faizal itu tidak dikira oleh pengadil kerana beliau sebelum itu sudah pun berada dalam kedudukan ofsaid.
Sala O turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol walaupun bermain dengan 10 pemain. Pada minit 48’, satu serangan balas premium Sala O di sayap kanan mereka berjaya menaikkan keghairahan sekumpulan kecil penyokong mereka. Bagaimanapun keghairahan tersebut hanya bertahan seketika lantaran final pass Sala O yang mengecewakan.
Selepas itu Gombak FA cuba menambah gol melalui serangan-serangan yang diatur di tengah dan situasi set-pieces. Selepas membazirkan 2 peluang, mereka akhirnya berjaya menggandakan kelebihan mereka menerusi tampanan Faizal Haziq dari jarak dekat. Apabila Hadi Termizi menambah dua lagi gol pada minit 64’ dan 70′, Sala O hanya mengharapkan ehsan pengadil untuk cepat-cepat meniup wisel penamat untuk menamatkan penderitaan mereka.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Faizal Haziq (Gombak FA)