Shah Alam Antlers mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas berjaya menumbangkan Gombak FC 4-0 dalam perlawanan minggu ke-6 Kumpulan B KVL M5 di Stadium MPAJ malam semalam.
Pressing Shah Alam Antlers – senjata yang mereka gunakan sejak 5 minggu lepas – nyata menganggu permainan Gombak FC yang tempang tanpa beberapa pemain di bahagian pertahanan yang digantung perlawanan selepas menerima kad merah ketika menentang CNA FC. Ini membolehkan Antlers mempunyai banyak penguasaan bola pada separuh masa pertama.
Tetapi di sebalik penguasaan bola yang dominan, pasukan Shah Alam ini gagal mencipta peluang jelas untuk penyerang mereka, Adam Nizam. Adam yang turun menggantikan Sherif Ahmed yang tidak dapat diturunkan, kelihatan agak bergelut untuk meletakkan dirinya di posisi yang betul untuk memanfaatkan rancangan serangan Antlers di tengah.
Akibatnya Shah Alam Antlers terpaksa menggunakan input dari dua penyerang sayap mereka, Faris Syazwan dan Zufar Akmal untuk mencipta situasi panik dalam kotak penalti Gombak. Apabila rancangan ini tidak berjaya, mereka hanya mampu mencuba penjaga gol Gombak, Shahrul Iman dari jauh – seperti yang dilakukan oleh Rusydi Shahriz sebanyak 2 kali pada 5 minit pertama perlawanan.
Pada minit ke-18’, Shah Alam Antlers mempunyai peluang terbaik untuk membuka jaringan, Dihadiahkan sepakan percuma dalam kotak penalti lawan, Khairil Iskandar tampil mengambil sepakan percuma tersebut. Bagaimana pertahanan Gombak melakukan kerja bagus untuk menafikan lawan mereka yang dominan.
Tanpa kehadiran Sherif Ahmed, Antlers nampak bergelut untuk menguji Gombak. Adam Nizam mungkin mempunyai fizikal yang baik untuk bermain sebagai penyerang tunggal, tetapi kebolehan gelecekan dan ketajaman penyudah beliau perlu diperbaiki lagi. Apabila beliau berjaya menyambut sepakan gol Affendy Razali pada minit ke-31 dan mengekang asakan 2 pertahanan tengah Gombak dengan kekuatan fizikalnya, penyudah beliau yang tumpul pula menafikan gol pertama beliau dalam musim ini.
Mujur rakan sepasukannya, Faris Syazwan tampil menyelamatkan keadaan. Berpunca daripada hantaran terus dari tengah yang menembusi kubu pertahanan Gombak, Faris berjaya menewaskan Shahrul Iman dalam situasi 1v1 untuk gol pertama.
Persembahan Adam Nizam bagaimanapun menjadi bertambah baik pada separuh masa kedua. Beliau berjaya mendapat gol yang dicari-carinya pada minit ke-41 apabila berjaya menanduk masuk hantaran lintang kiri dari Rusydi Shahriz.
Ketinggalan 0-2, Gombak bangkit memperkemaskan jentera tengah mereka yang sebelum ini ditenggelami intensiti trio Shah Alam Antlers, Rusydi Shahriz, Iylia Fitri dan Syed Muhammad Aizat. Diketuai oleh pemain Korea Selatan, Moon Seong-won, Gombak kemudiannya menyerang lawan mereka bertubi-tubi – tetapi masih gagal membekalkan peluang secara konsisen untuk penyerang sandaran mereka, Abdulkadir Ali Kassim.
Megat Rafie melengkapkan malam gemilang untuk pasukannya dengan menjaringkan gol ke-3 pada minit 62’. Berpunca daripada pertukaran hantaran pantas antara 2 pemain gantian – Solomon Ekunke dan Shamel Suhaimi, Megat berjaya menampan hantaran lintang kiri Shamel.
4 minit selepas gol Megat tersebut, keadaan bertukar menjadi lebih buruk buat Gombak FC. Kesibukan Gombak menyerang mendedahkan pertahanan mereka kepada serangan balas sehingga memberikan peluang kepada Shamel Suhaimi untuk menewaskan perangkap ofsaid dan berdepan Shahrul Iman dalam situasi 1v1. Shamel dijatuhkan oleh Shahrul – untuk memberikan penalti jelas yang disempurnakan oleh Muhammad Amirunzakwan.
Dengan kemenangan 4-0 ini, Shah Alam Antlers telah mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dengan baki 1 perlawanan menentang FC Serayan pada minggu hadapan.
Pemain terbaik perlawanan: Faris Syazwan (Shah Alam Antlers)