Axis O2 meneruskan rentak cemerlang dalam aksi minggu ke-3 AXA KVL M5 malam semalam apabila menang 3-0 sekalipun cuba diberikan tentangan sengit oleh Rose FC di Stadium MPAJ.
Rose FC yang dibarisi oleh pemain-pemain muda cuba menyaingi Axis O2 dengan mempamerkan intensiti dan tempo permainan yang tinggi, tetapi pengalaman dan ketenangan Axis O2 ternyata menjadi faktor utama kemenangan mereka.
Dengan kehadiran 3 pemain berpengalaman, Azwann Ismail, Sheedi Rasni dan Desmond Amadi, membentuk trio di tengah, Axis O2 merupakan pasukan yang kerap mengawal perlawanan. Manakala Rose FC sekali-sekala cuba mengancam melalui serangan balas di sebelah kanan melalui larian Aizat Shaharuddin.
Bagaimanapun di sebalik dominasi Axis O2 dari segi penguasaan bola, mereka tetap mengadapi kesukaran untuk memecah kubu pertahanan Rose FC. Buktinya hanya selepas 17 minit perlawanan berlangsung, barulah Axis O2 mendapat percubaan pertama melalui tandukan Desmond Amadi dari hantaran lintang Lucky Ogu. Itupun ia tersasar.
Pelan Rose FC untuk menyerap asakan sebelum menyerang balas lawannya mempunyai potensi berjaya – jika tidak kerana ketidakmatangan pemain-pemain mereka ketika membuat keputusan. Kerap kali serangan pantas Rose FC digagalkan oleh hantaran yang salah dan teknik yang salah. Rose FC seakan-akan menjadi cemas apabila berhadapan dengan 4 pertahanan Axis O2 – sekalipun mereka yang mempunyai bola.
Peluang ini digunakan oleh Axis O2 untuk menghukum lawan mereka. Pada minit ke-29, Aidil Shahril yang sebelum ini ‘hilang’ dari permainan, membuka jaringan selepas berjaya menyambut hantaran tengah untuk merembat menewaskan penjaga gol Rose FC, Asymawi Ramli.
6 minit kemudian, Rose FC mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan. Tetapi tiada seorang pun pemain mereka yang mampu menampan hantaran lintang Aizat Shaharuddin.
Pada separuh masa kedua, Desmond sekali lagi mengancam pada minit 44’ selepas bertukar-tukar hantaran dengan Ahmad Shafeez di sebelah kanan. Bagaimanapun seperti sebelum ini, percubaan Desmond sekadar melewati tiang. Pada minit 52’, giliran Ahmad Shafeez pula untuk membazirkan peluang apabila rembatan beliau tersasar.
Dengan pertahanan Rose FC yang mula menunjukkan tanda-tanda merekah, Axis O2 menggunakan kesempatan tersebut untuk melancarkan hantaran-hantaran jauh terus ke kubu mereka. Strategi ini berhasil akhirnya pada minit 60’ apabila Azwann Ismail berjaya mengawal baik hantaran jauh sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua Axis O2.
3 minit kemudian, Aidil Shahril mengetuk paku terakhir di keranda Rose FC selepas berjaya mengawal baik satu lagi hantaran jauh untuk menewaskan pertahanan Rose FC melalui kelajuan dan teknik rembatan yang cemerlang.
Ketinggalan 0-3, Rose FC langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda melawan untuk memberi kemenangan kedua Axis O2 dalam kempen liga M5 musim ini.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Aidil Shahril (Axis O2)