AXA KVL M5: Ampang United Gagal Manfaat Dominasi, Diikat 0-0 Oleh KL Gators

Ampang United gagal memanfaatkan dominasi mereka pada separuh masa pertama apabila sekadar seri 0-0 dengan KL Gators dalam perlawanan minggu ke-2 AXA KVL M5 di Stadium MPAJ.

Ampang United yang memulakan kempen liga dengan cemerlang apabila menewaskan Gombak FC 2-0 minggu lepas, memulakan perlawanan dengan cukup baik. Hantaran-hantaran pendek trio tengah mereka ditambah pula dengan kelicikan Zarif Norzamry membolehkan Ampang memaksa Gators berkampung di kawasan padang mereka sendiri.

Gators yang mempamerkan corak pressing yang intensif ketika tewas 0-1 kepada Shah Alam Antlers pada minggu lepas, bagaimanapun tidak mampu mengulangi intensiti sama. Jentera tengah mereka yang dikemudi oleh Jason Lim dan Toshiya Hosoe gagal mengekang permainan pantas Ampang.

Cuma sekali Gators berjaya mengancam kubu Ampang. Berpunca daripada kawalan bola di dada yang baik daripada Yohei Iwasaki, Amirrul Adli berjaya melarikan bola di sayap kanan. Tetapi sebelum sempat bola hantaran lintang Amirrul menemui Arvind Kumar, Eneh Cletus pantas menyelamatkan keadaan.

Ampang mempunyai 3 peluang untuk membuka jaringan pada separuh masa pertama. Tetapi kesemua percubaan tersebut terlalu mudah untuk penjaga gol sekaliber seperti Syed Adney di gawang Gators.

Masuk separuh masa kedua, Gators mula menunjukkan peningkatan. Baru 3 minit perlawanan bersambung semula, penjaga gol Ampang, Fadhil Abdul Hamid terpaksa membuat aksi menyelamat akrobatik yang cemerlang untuk menafikan tandukan pemain Gators.

Serangan Gators ini seakan menyedarkan Ampang dari lamunan. 4 minit kemudian, Zarif berjaya memanfaatkan kegagalan pertahanan Gators mengeluarkan bola sepakan penjuru Ampang. Ketika Syed Adney hanya mampu melihat voli deras Zarif, nasib menyebelahi Gators apabila bola sekadar melewati tiang kanan gol Gators.

Sepakan penjuru sekali lagi hampir menjadi sumber gol pembukaan perlawanan. Kali ini pada minit 46’, tandukan Arvind berjaya menewaskan penjaga gol Ampang, Fadhil Abdul Wahab. Bagaimanapun tandukan beliau tersasar beberapa inci dari tiang kanan gol Ampang.

Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang berpolarisasi. Ampang United (jersi biru) bagus pada separuh masa pertama. Separuh masa kedua milik KL Gators.

Pada minit 62’ Charles Yeoh berpeluang membuka jaringan hasil larian sayap kiri yang cemerlang dari Ryan Wong. Sepakan Charles cukup kencang untuk mencemaskan Fadhil di gawangnya, tetapi tidak cukup tepat dan sekadar melewati palang.

Seminit selepas itu, Gators mempunyai satu lagi peluang untuk menguji Fadhil sekali lagi. Berpunca daripada sepakan penjuru dari kiri, Razeen Khalid berjaya melompat menewaskan pertahanan Ampang. Tetapi tandukannya terus ke dakapan Fadhil.

Ketinggian Razeen yang masuk sebagai pemain gantian jelas berjaya menggoyahkan kubu pertahanan Ampang yang selama ini utuh. Pada minit 67’ beliau hampir-hampir membuka jaringan untuk Gators selepas menerima hantaran lintang dari kanan. Tetapi ia tersasar.

Situasi buntu di hadapan gol ini berterusan sehinggalah wisel penamat dibunyikan pengadil. Ampang United pastinya kesal dengan keputusan ini disebalik dominasi meraka – terutamanya pada separuh masa pertama. Bagi Gators pula, persembahan separuh masa kedua mereka perlu diulangi dengan kerap jika mahu mencipta kemenangan pertama mereka dalam liga.

Statistik perlawanan

Pemain terbaik perlawanan: Zarif Norzamry (Ampang United)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN