Ampang United FC memulakan kempen AXA KVL M5 mereka dengan nota ceria selepas berjaya menumpaskan Gombak FC 2-0 dalam perlawanan kumpulan B liga di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam semalam.
Gombak FC yang segar daripada kemenangan mengejut 1-0 mereka menentang Puchong Fuerza dalam saingan Selangor Champions League 2018 memulakan perlawanan dengan baik apabila seawal minit 1 lagi telah dihadiahkan penalti.
Pengadil membuat keputusan tersebut selepas hantaran lintang Chan Ren Jian selepas membuat larian baik di sayap kanan terkena tangan pertahanan tengah import Ampang United, Eneh Cletus. Penyerang sayap kiri Gombak FC, Nur Hakim tampil mengambil sepakan tersebut – tetapi ia diselamatkan oleh penjaga gol Ampang United, Asraf Abdul Latif.
Insiden ini seakan membuatkan enjin Ampang United terus ‘panas’. Dalam masa 9 minit selepas penalti Gombak FC tersebut, Ampang memperolehi 4 peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan – 2 daripadanya menerusi sepakan percuma dari jarak kurang 20 ela – tetapi semuanya dikecewakan oleh teknik penyudah yang kurang baik.
Ampang United yang dibantu oleh fizikaliti dan ketenangan Reuben Dalliah mengawal jentera tengah beberapa kali merobek kubu pertahanan Gombak FC – terutamanya di sebelah kanan mereka menerusi kelajuan Afiq Fakhri. Sementara itu Gombak pula mempunyai kesukaran menyerang berikutan kegagalan mereka menggerakkan bola dari zon middle third ke final third.
Apabila Gombak FC berjaya sampai ke zon final third, hantaran-hantaran terakhir mereka pula mengecewakan. Hanya apabila pertahanan Ampang United membuat kesilapan, barulah Gombak dapat membuat percubaan seperti yang terjadi pada minit ke-32. Dua peluang diperolehi Gombak FC untuk mengambil gol pendahuluan, tetapi kedua-duanya gagal disempurnakan.
4 minit kemudian, Ampang United menghukum Gombak FC apabila Abdul Rahman menjaringkan gol pembukaan berikutan kesilapan penjaga gol Gombak FC, Shahrul Iman. Qayum Ahmad kemudian menambah gol kedua Ampang United selepas berjaya menyempurnakan peluang yang terjelma hasil larian cemerlang Afiq Fakhri.
Ketinggalan 0-2, Gombak FC cuba bangkit dengan memperlajukan tempo permainan dan menaikkan intensiti pressing mereka. Taktik ini berhasil apabila Gombak FC mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Ampang United terpaksa bertahan dan menyerap asakan – tetapi dalam pada masa yang sama, ia juga memberi mereka beberapa peluang untuk menyerang balas Gombak FC.
Inilah yang terjadi pada minit ke-61 apabila pertahanan Gombak FC terpaksa menghentikan serangan balas Ampang united dengan menjatuhkan Reuben Dalliah. Tampil ke depan untuk mengambil sepakan percuma tersebut adalah Adib Yaakob. Tetapi sepakan beliau berjaya diselamatkan dengan baik oleh Shahrul Iman.
Kebuntuan Gombak FC di hadapan gol berterusan sehingga tamat perlawanan untuk memberikan permulaan sempurna buat Ampang United dalam saingan liga ini.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Afiq Fakhri (Ampang United)