Awalludin Mat Nawi Mahu Hadiahkan Kejuaraan Futsal AFF 2018 Buat Malaysia

Awalludin

Skuad negara bimbingan Chiew Chun Yong bakal berdepan gergasi futsal Asia, Thailand pada perlawanan akhir Kejuaraan Futsal AFF 2018 yang berlangsung di Jogjakarta petang ini.

Perlawanan yang dijangka berlangsung jam 3.00 petang ini merupakan final ke-5 buat skuad negara sejak kejohanan serantau ini mula diperkenalkan pada tahun 2001.

Masih belum pernah mengecapi nikmat selaku juara, para pemain negara yang diketuai Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin bersama rakan sepasukan sudah pasti mengimpikan sesuatu yang cukup manis pada perlawanan petang nanti.

Menurut pemain negara yang kini merupakan penjaring terbanyak skuad negara, Mohd Awalludin Mat Nawi, beliau juga mempunyai harapan yang serupa seperti pemain lain iaitu mengharapkan mahkota kejuaraan edisi kali ini menjadi milik skuad negara.

”Harapan sudah pastilah untuk menjuarai kejohanan ini sebagai hadiah buat Malaysia. Seperti kita semua ketahui, Malaysia tidak pernah muncul sebagai juara dan Thailand seringkali menggungguli saingan,” ujar pemain berusia 20 tahun itu ketika dihubungi wakil SemuanyaBOLA.

Awalludin cuba menghalang kemaraan Muhammad Osman Musa ketika kejohanan PTT Thailand Five tempoh hari. Foto: Instagram peribadi Awaluddin.

”Semestinya saya bersama rakan yang lain akan berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk memberikan saingan hebat buat Thailand walaupun mereka turun tanpa Suphawut (Thueanklang), Kritsada (Wongkaeo) dan Jirawat (Sornwichian).”

Ketika ditanya adakah ketiadaan ketiga-tiga tonggak utama tersebut menyerlahkan kelemahan yang mungkin dapat digunakan sepenuhnya skuad negara, Awalludin menolak kemungkinan tersebut.

”Thailand merupakan pasukan yang hebat sebagai satu unit, jika kita bercakap mengenai kelemahan mereka sekalipun, kami masih tidak pernah menang menentang skuad ini.”

”Namun ia bukan alasan untuk kami menyerah kalah sebelum beraksi di gelanggang.”

”Kami akan berusaha untuk memberikan saingan hebat buat Thailand dan dalam masa sama berdoa agar semuanya berjalan seperti yang diharapkan pada perlawanan petang ini.”

Dalam pada itu, Awalludin melihat ketua pasukan Thailand, Jetsada Chudech, Apiwat Chaemcharoen dan Muhammad Osman Musa bakal menjadi ancaman terbesar buat skuad negara nanti.

Edisi musim lalu menyaksikan skuad negara tewas 4-3 bertemu Thailand di perlawanan akhir yang berlanjutan hingga masa tambahan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada kejohanan PTT Thailand Five di Bangkok beberapa minggu sebelum skuad negara berlepas ke Jogjakarata dan Thailand menang dengan keputusan 7-1.

Kredit foto: Sports247

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN