‘Aura Mesra’ Arteta-Mourinho Menjelang Derbi North London

mikel-arteta-jose-mourinho-arsenal-spurs-derbi

Hubungan baik antara Jose Mourinho dan Mikel Arteta satu masa dahulu ketika di Barcelona B menyaksikan Derbi North London kali ini tampak lebih mesra.

Ini kerana, kedua-dua pengendali tidak saling berbalah malah saling memuji antara satu sama lain. Mengikut sejarah, pertembungan Arsenal dan Tottenham pastinya menjanjikan kehangatan dengan kontroversi, layangan kad merah dan berbalas kata.

Arteta tak termakan soalan panas

Bekas penyerang Arsenal, Ian Wright dipetik berkata kepada talkSPORT yang bekas playmaker, David Rocastle pernah berkata kepadanya “Kamu harus meledak gol dalam derbi ini. Jika kamu menjaringkan gol, kamu akan menjadi lagenda segera.”

Ia menunjukkan betapa pentingnya Derbi North London kepada kedua-dua pasukan sehingga kini. Dan ia telah berlangsung sejak 1913 namun, pada penghujung musim 2019/20 ini, kehangatan tersebut nampaknya seakan-akan hilang sementara.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta terlebih dahulu dilihat merendah diri dan tidak termakan dengan soalan-soalan wartawan dalam sidang media untuk menjadikan derbi ini panas menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Ahad nanti.

Arteta lebih suka untuk mengenang saat mereka berdua kali pertama bertemu di Barcelona B, di mana Mourinho kerap kali turun untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda sepertinya. “Beliau masih berkelas dunia,” tegas Arteta.

Derbi yang pastinya berbeza

Arteta menyertai Barcelona B pada 1999 dan ketika itu, Mourinho yang merupakan pembantu kepada pengendali, Louis van Gaal, dilihat kerap meluang masa bersama mereka dalam usahanya membina kariernya dan identiti dalam pengurusannya.

Arteta juga menjelaskan yang derbi ini tidak lagi seperti dahulu dek kerana penyokong tiada di stadium. Ini merupakan kali pertama beliau akan bertindak sebagai pengurus dan memiliki pengalaman lima tahun ketika bermain bersama The Gunners.

“Ia adalah satu perlawanan derbi yang amat berbeza pada Ahad nanti. Kami gembira apabila dapat kembali beraksi tetapi tanpa penyokong, pengalamannya tidak lagi sama, memori dan permainan juga tidak lagi sama,” ujar Arteta lagi mengenainya.

“Saya pernah terlibat dalam pertembungan yang menarik. Ia melibatkan gol yang banyak, keterujaan dan juga aksi kerap bertukar tangan,” tambahnya mengenai pertembungan yang menyaksikan Arsenal menang 5-2 ke atas Tottenham.

Mourinho: Saya tidak akan doakan kejayaannya

Pengendali Tottenham juga tampil positif dalam sidang media sebagai respon kepada kenyataan sopan Arteta sebelum itu. Mourinho turut berjenaka yang keadaan tidak mengizinkannya untuk mendoakan yang terbaik buat bekas anak didiknya itu.

“Sudah tentu, saya amat menyukainya [Arteta]. Saya mengharapkan kariernya akan bertambah baik, tetapi harus saya akui yang dia berada di kelab musuh, kelab yang bersaing untuk satu perkara yang sama iaitu kelayakan ke saingan Eropah.

https://twitter.com/MediaFbi/status/1281914150315102209

“Dan tentunya saya tidak akan mendoakan untuk kejayaannya dalam situasi ini,” jelas pengendali asal Portugal itu sambil menegaskan yang suasana kerjaya yang mereka lalui adalah sama iaitu tiba mengambil alih pasukan ketika musim berlangsung.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menang dalam kadar yang segera dan keduanya, perlu juga melihat kepada masa depan pasukan,” ujarnya mengenai perkongsian cabaran buatnya dan Arteta dalam mengendalikan kedua-dua pasukan.

Penutup

Jadi, adakah Derbi North London ini akan tetap berwajah yang sama ketika aksi mengambil alih di padang pada Ahad nanti? Mungkin kedua-dua pengendali pandai dalam menyembunyikan ghairah mereka disebalik persahabatan mereka.

Sebaliknya, pemain-pemain yang akan mencatur bagaimana perjalanan Derbi North London ini nanti. Mengikut rekod dalam saingan Premier League menyaksikan Arsenal menang 66 kali, 52 kali berpihak kepada Spurs dan 47 kali berkesudahan seri.

KREDIT FEATURED IMAGE: GOAL

Baca lagi mengenai Arsenal dan Tottenham:

Leave a Reply