Sri Pahang menjadi antara pasukan yang diberi tumpuan ketika ini selepas kejayaan mereka untuk menandatangani dua pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Musim ini segalanya tampak begitu positif buat Sri Pahang dalam aksi Liga Super 2023, walaupun mereka sebenarnya tidak diberi begitu banyak tumpuan oleh pemerhati bola sepak Malaysia.
Namun skuad kendalian Fandi Ahmad berjaya membuktikannya dengan sangat baik, selepas kini beliau berjaya memacu Sri Pahang untuk berada di tangga ketiga carta Liga Super bersama persembahan menyakinkan.
Walaupun dihimpit dengan isu kecederaan beberapa pemain utama, Fandi berjaya membawa pasukan tersebut untuk tampil konsisten dalam setiap perlawanan dengan hanya tewas dua kali sahaja.
Untuk perlawanan seterusnya, Sri Pahang bakal menghadapi cabaran daripada salah satu pasukan pilihan musim ini iaitu Selangor di laman sendiri dalam misi untuk mengukuhkan kedudukan semasa dalam liga.
Sebagai rekod, Sri Pahang dan Selangor sekadar terikat seri 1-1 ketika perlawanan pertama Liga Super ketika aksi berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Namun, momentum sengit itu gagal dikekalkan oleh Sri Pahang dalam pusingan 16 terbaik Piala FA, selepas mereka ditewaskan dengan begitu teruk oleh Selangor menerusi keputusan penuh 0-4.
Menyedari jurang kekuatan bersama Selangor ketika ini tidak begitu seimbang, pastinya Fandi menyedari perubahan segera perlu dilakukan untuk mereka memperoleh keputusan positif di laman sendiri.
Bagi aksi seterusnya, Sri Pahang bakal menghadapi skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Darul Makmur (SDM) dan para penyokong Tok Gajah pastinya tidak sabar untuk melihat kelibat pemain import baharu mereka.
Sri Pahang ketika ini secara rasminya sudah pun menandatangani khidmat penyerang import dari Brazil iaitu Rafael Silva serta bintang tengah kelahiran Uzbekistan, Kuvondik Ruziev.
Rafael dilihat sebagai pemain yang paling diperlukan Sri Pahang kini, setelah kecederaan dialami penyerang mereka Lucas da Silva menyaksikan Kpah Sherman berseorangan menjadi penggempur utama pasukan.
Masalah serangan Sri Pahang musim ini lebih terarah kepada Sherman yang tidak mendapat begitu banyak bantuan di atas padang dan terbukti dalam setiap perlawanan dihadapi.
Selain itu, Sri Pahang turut mendapatkan sentuhan pemain tengah baharu selepas isu kecederaan yang kerap menimpa Sergio Aguero serta beberapa tonggak lain menjadikan mereka agak kritikal sebelum itu menghadapi perlawanan liga.
Bertemu Selangor, kedua pemain ini pastinya ditagih Fandi untuk tampil dengan lebih baik bagi membantu Sri Pahang kekal selaku antara pencabar utama musim 2023.
Namun, para penyokong juga perlu realistik akan kualiti dua pemain tersebut gagal memberikan terbaik pada aksi sulung, kerana ini merupakan perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga M.