Kedah Darul Aman (Kedah) secara rasminya berjaya meraih kemenangan sulung mereka pada saingan Piala Malaysia musim 2024/2025 apabila mereka mencatat keputusan positif ketika menghadapi cabaran Kuala Lumpur City (KL City).
Walaupun dihimpit dengan pelbagai isu sebelum saingan bermula termasuk ketiadaan pemain simpanan di tepi padang selain kontroversi kehadiran Danny Evans sebelum aksi berlangsung, ia tak menghalang Kedah untuk meraih kemenangan 3 berbalas 2 mengatasi pelawat.
Sepanjang aksi berlangsung, Nafuzi Zain mencipta sedikit rombakan dalam kesebelasan utama dengan turut membawa masuk Aiman Afif dalam kesebelasan utama.
Sang Kenari dilihat sedikit tertekan pada awal permainan apabila skuad kendalian Miroslav Kuljanac mencipta beberapa gerakan berbahaya untuk menguji pasukan tuan rumah.
Tambahan kesilapan dilakukan oleh pemain Kedah sendiri hampir mengundang bahaya buat lawan untuk cuba meraih sesuatu positif di posisi pertahanan Sang Kenari.
Kelekaan tuan rumah akhirnya dihukum pada minit ke-13, apabila Ryan Lambert cemerlang meledak gol pembukaan menerusi percubaan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol Kedah.
Enggan mengalah lebih awal, Kedah kembali menyusun gerakan sebelum mereka berjaya memperoleh jaringan penyamaan menerusi ledakan kapten Sang Kenari, Sony Norde pada minit ke-27.
KL City dilihat terus tenggelam punca dengan kebangkitan Sang Kenari yang secara tiba-tiba tampil lebih tersusun menyusun serangan dan tampil lebih berdisiplin.
Sehingga minit ke-30, pasukan tuan rumah berjaya mendahului pelawat menerusi ledakan sekali lagi oleh Sony Norde yang mudah menyempurnakan hantaran daripada Ebenezer Assifuah.
Keputusan tersebut berkekalan di separuh masa pertama sebelum aksi di babak kedua jauh lebih sengit apabila masing-masing beraksi secara terbuka untuk memburu gol keempat perlawanan.
KL City sendiri mencipta beberapa perubahan dengan turut membawa masuk dua bintang Harimau Malaya iaitu Paulo Josue bersama Haqimi Azim untuk menghidupkan lagi jentera serangan.
Namun, tanpa disangka Kedah terus membuktikan keampuhan mereka dengan kali ini Sukhrob Nurullaev berjaya meledak jaringan ketiga buat Sang Kenari, apabila dirinya mudah menyempurnakan hantaran daripada Assifuah.
Tidak mahu terus ketinggalan, KL City kembali meledak gol kedua permainan menerusi Jovan Motika tidak lama selepas itu untuk terus menghidupkan api perjuangan pelawat.
Keputusan perlawanan kekal tamat dengan kemenangan berpihak kepada Kedah sebelum aksi timbal balik seterusnya berlangsung di Cheras.
Kesebelasan Utama
Kedah Darul Aman: Wan Mohamad Syazmin Wan Mohamad Ruzaimi (Penjaga Gol), Sony Norde (Kapten), Sukhrob Nurullaev, Mohd Loqman Hakim Marzuki, Muhammad Irfan Zakaria, Mohd Aiman Afif Md Afizul, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Jose Cleylton de Morais dos Santos, Mohamad Hasbullah Abu Bakar, Muhamad Kamil Akmal Abd Halim, Ebenezer Assifuah
Kuala Lumpur City (KL City): Muhammad Azri Ab Ghani (Penjaga Gol), Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri, Adrijan Rudovic, Ryan Edward Lee Kit Seng Lambert, Jovan Motika, Giancarlo Gallifuoco (Kapten), Patrick Alcala Reichelt, Declan Stephen Lee Kit Meng Lambert, Partiban K. Janasekaran, Kenny Pallraj Davaragi, Brendan Gan