Dengan berkongsi 11 mata di tangga tercorot liga, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga MISC-MIFA terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk menentukan pasukan mana bakal ke Liga FAM 2018 setelah kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Membawa misi mengutip mata penuh, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga sebaik sahaja perlawanan bermula.
Namun ATM lebih banyak mendapat peluang keemasan tetapi gagal disudahkan barisan penyerang mereka.
MIFA banyak melakukan hantaran-hantaran tinggi kepada target man mereka, Kpah Sherman.
Manakala pasukan ATM cenderung untuk mengekalkan penguasaan bola dan bermain lebih banyak di bahagian sayap.
Peluang terbaik ATM hadir pada minit ke-26 perlawanan melalui percubaan Iqbal Shah tetapi ianya sedikit tersasar.
Selang seminit, perlawanan sedikit panas apabila berlaku pergaduhan diantara Sherman dan juga Pavel Smolyachenko namun berjaya dikawal pengadil bertugas.
Sejurus selepas itu MIFA hampir membuka jaringan melalui tandukan Sherman namun ianya melewati palang gol ATM.
Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua
Masuk babak kedua ATM mula mengatur serangan bertali-arus ke arah pintu gol MIFA.
Hasilnya pada minit ke-59, ATM berjaya membuka jaringan melalui Faiz Ibrahim setelah berjaya menanduk masuk berpunca dari hantaran sepakan percuma rakan sepasukan beliau.
MIFA cuba bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan dan ianya hadir pada lewat permainan setelah Sherman dijatuhkan penjaga gol ATM, Safril Hafizzie dan sepakan penalti dihadiahkan.
Penyerang import, Luiz Eduardo Purcino dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut menjadikan kedudukan 1-1.
5 minit masa tambahan diberikan namun tiada jaringan dihasilkan dan perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.
Perlawanan terakhir bakal menjadi perebutan 3 penjuru apabila Perlis, ATM dan juga MIFA bakal beraksi untuk menentukan pasukan mana bakal tersingkir.
Pada 27 Oktober ini pasukan ATM akan menentang pasukan Perlis manakala MIFA akan melayani kunjungan PDRM.
Kredit foto: MISC-MIFA