Quantcast

BERITA

Atletico Madrid Sahkan Griezmann Akan Sertai Barcelona

Antoine Griezmann akan menyertai Barcelona pada musim panas ini. Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Martin.

“Beliau [Griezmann] akan menyertai Barcelona,” ujar Gil Martin pada Rabu seperti yang dilaporkan oleh kebanyakan media di Sepanyol.

Gil Martin turut berkata beliau dan Atletico sudah mengetahui destinasi Griezmann seterusnya sejak Mac lalu.

Pendedahan ini sekurang-kurangnya menamatkan spekulasi mengenai masa depan Griezmann, melainkan Barcelona atau pun pemain tersebut sendiri melakukan u-turn yang dramatik.

Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Gil Martin, Grizmann dan Barcelona sudah pun mempunyai pra kontrak yang dipersetujui secara bersama pada Mac lalu.

Bintang Piala Dunia Perancis itu sebelum ini pernah menolak untuk menyertai Barcelona pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu. Malah beliau mengumumkan akan kekal bersama Atletico melalui sebuah dokumentari yang disiarkan di televisyen Sepanyol.

Beberapa minggu lalu, timbul pula laporan mengatakan Griezmann belum pasti akan destinasi beliau seterusnya. Paris Saint-Germain turut dikaitkan dengan penyerang berusia 28 tahun ini.

Mengenai keputusan beliau meninggalkan Atletico pada musim panas ini, Griezmann berkata:

“Saya sendiri yang mahu menentukan masa depan sendiri. Tetapi anda harus bersabar. Saya tidak pasti jika saya akan ke La Liga.

“Dalam tempoh dua minggu akan datang, saya pasti kita akan tahu sesuatu. Saya hanya mahu bermain dan menikmati bola sepak,” ujar Griezmann dari kem Perancis baru-baru ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!