Aston Villa Pinjam Reina Dari Milan, Milan Pinjam Begovic Dari Bournemouth

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Bekas penjaga gol Liverpool, Pepe Reina telah sah dipinjamkan ke Aston Villa dari AC Milan sehingga hujung musim. Bagi menggantikan penjaga gol veteren itu, Milan telah meminjam Asmir Begovic dari Bournemouth.

Reina bermain selama lapan musim bersama skuad utama Liverpool pada 2005 hingga 2013 di mana beliau memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris semasa tiga musim pertamanya di kelab tersebut.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu juga pernah beraksi untuk Bayern Munich dan Napoli sebelum berpindah ke Milan pada 2018. Beliau telah dibawa masuk ke Aston Villa untuk menampung ketiadaan Tom Heaton yang terpaksa diketepikan sehingga akhir musim ini kerana masalah kecederaan lutut.

“Kami berjaya mendapatkan Pepe yang mempunyai pengalaman yang luas dalam EPL. Sejak permulaan musim, kami memang mencari penjaga gol berpengalaman dan sebab itu kami membawa masuk Tom Heaton.

“Malangnya dengan kecederaan serius yang dialami telah menyebabkan beliau terpaksa diketepikan sehingga penghujung musim, namun kami percaya Pepe amat menepati kriteria bukan hanya kerana pengalamannya tetapi juga kualiti kepimpinan beliau.”

Reina juga telah bermain 30 kali untuk Sepanyol dan merupakan anggota skuad yang menjuara Euro 2008, 2012 serta Piala Dunia 2010.

Sementara itu, Bournemouth juga telah mengumumkan penjaga gol, Asmir Begovic akan menyertai Milan secara pinjaman sehingga hujung musim ini sebagai pengganti Pepe Reina.

Bekas penjaga gol Chelsea itu telah membuat 24 penampilan dalam saingan EPL musim lepas, tetapi telah mula kehilangan tempat kepada Aaron Ramsdale.

Pada separuh pertama musim ini, penjaga gol Bosnia itu telah dipinjamkan ke kelab Azerbaijan, Qarabag.

Media Itali melaporkan Begovic mungkin akan beraksi dalam perlawanan pertamanya pada Rabu ini dalam saingan Copa Italia berdepan SPAL. Penjaga gol utama, Gianluigi Donnaruma kini sedang mengalami masalah kecederaan otot dan dijangka tidak akan bermain.

Kredit Foto: Aston Villa

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U