Asnan Ahmad Tak Lupa Jasa UKM FC, Tekad Bantu TFC Raih Kejayaan

Asnan Ahmad

Setelah lapan tahun bersama pasukan, Asnan Ahmad akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat UKM FC selepas beliau memutuskan untuk berhijrah ke Terengganu FC (TFC) pada musim hadapan.

Bermula daripada Liga IPT pada tahun 2013 sehinggalah ke saingan Liga Premier pada musim ini nyata memberi seribu makna buat Asnan sehingga bergelar pemain profesional dan kini bersedia untuk membawa haluan baharu bersama TFC pula.

Jelas pemain berusia 27 tahun itu, ini adalah masa yang tepat untuknya melebarkan sayap dengan lebih luas khususnya untuk beraksi dalam saingan CIMB Liga Super buat kali pertama selain Piala AFC 2021 yang pastinya menjadi fokus utama skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Namun, Asnan menyifatkan perjalanan bersama UKM FC banyak mengajar dirinya untuk menjadi seorang pemain yang lebih matang di atas padang dan tidak akan pernah lupa segala tunjuk ajar daripada semua pihak yang terlibat untuknya mencipta kejayaan baru bersama TFC musim depan.

“Banyak pengalaman berharga saya ketika bersama UKM FC, tempat di mana saya belajar banyak benda dan juga tempat saya menuntut ilmu sebagai pelajar.

“Saya juga tidak akan lupa sokongan daripada bekas Naib Cancelor UKM, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang turut menjadi tulang belakang kepada sukan bola sepak UKM khususnya untuk saya serta pelajar-pelajar lain merebut peluang itu.

“Di UKM jugalah saya didedahkan dengan pelbagai cabaran apabila KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) sentiasa mendedahkan kami dengan banyak pertandingan sehingga saya berjaya menjadi seorang pemain profesional dalam UKM FC.

“Sebab itulah, saya rasa selepas banyak menimba ilmu dan tunjuk ajar bersama pasukan itu, tiba masa untuk saya mencuba cabaran baru bersama pasukan hebat seperti TFC dan tidak akan sia-siakan kepercayaan yang telah diberi,” jelasnya.

Menurut Asnan, dia begitu tertarik dengan taktikal dan corak permainan yang ditampilkan oleh TFC khususnya strategi yang diterapkan oleh Nafuzi sehingga pasukan itu berjaya meraih kedudukan ketiga CIMB Liga Super musim ini.

Enggan memikirkan sasaran peribadi, Asnan lebih mementingkan tahap keserasian dirinya bersama rakan sepasukan terlebih dahulu bagi membentuk skuad yang lebih kuat untuk mengharungi musim 2021 dengan cemerlang khususnya di pentas Piala AFC.

“Saya lebih fokus kepada proses untuk mendapatkan persefahaman dengan pemain sedia ada dalam pasukan itu, selepas itu barulah kita akan nampak pencapaian yang kita akan capai.

“Sasaran kalau boleh teringin nak raih sekurang-kurangnya dua piala, tetapi sebelum kita nak mendapatkan kejayaan itu, amat penting untuk saya sebagai pendatang baharu ini menyesuaikan diri dalam skuad seiring dengan taktikal yang Nafuzi terapkan.

“Memang Liga Premier berbeza dengan Liga Super, tetapi saya percaya dengan pengalaman yang ada ketika bersama UKM FC, saya mampu untuk membantu pasukan raih pencapaian lebih memberangsangkan pada musim ini,” katanya.

Selain Asnan, TFC terus memperkuatkan pasukan apabila setakat ini sudah mengikat pemain Nik Akif Syahiran, Faisal Abd Halim, Shahrul Nizam dan Arif Anwar bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Kredit featured image: Terengganu Football Club

Baca artikel lain dari kami mengenai Asnan Ahmad dan UKM FC:

Sulaiman Hussin: Jurulatih Perlu Berhenti Suruh Pelajar IPT Tangguh Pelajaran

Piala Cabaran 2019: Asnan Tuntut Kerja Keras Rakan Sepasukan, Buru Jaringan Tempat Lawan

Asnan Ahmad: Segala Keputusan Diambil Demi Kebaikan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN