Ashley Young dilaporkan berpotensi untuk menyertai bekas rakan sepasukan di DC United, Wayne Rooney pada jendela perpindahan musim panas ini.
Manchester United sedang didalam perancangan untuk merombak skuad sedia ada, tetapi Young adalah pemain yang baru dikekalkan dengan kontrak baharu selama setahun pada Februari lalu.
Bagaimanapun, laporan media di UK mengatakan Ole Gunnar Solskjaer berkemungkinan akan menerima bidaan mana-mana pihak sekiranya mendapat tawaran yang difikirkan wajar untuk pemain pertahanan berusia 33 tahun itu.
Manchester Evening News adalah portal pertama yang mendedahkan minat DC United untuk mendapatkan khidmat Young.
Sebelum ini rata-rata penyokong Manchester United terkejut apabila Young dilanjutkan kontrak untuk kekal di Old Trafford – setelah melalui beberapa musim yang sukar.
Ura-ura Young akan diberikan peranan kapten pasukan untuk saingan musim hadapan turut tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan penyokong setia United.
Antonio Valencia dan Ander Herrera sudah mengesahkan tidak lagi bersama United pada musim hadapan . Manakala Marcos Rojo dan Matteo Darmian juga dilihat bakal menyusul, tatkala Romelu Lukaku kini dikaitkan semakin hampir untuk menyertai Inter Milan.
Masa depan pemain lain seperti Paul Pogba dan David de Gea juga tidak terjamin di Old Trafford. Bersama-sama dua pemain pertahanan, Phil Jones, Chris Smalling dan Alexis Sanchez, United dikatakan sedia untuk menjual sekiranya mendapat tawaran yang difikirkan wajar untuk berbuat demikian.