Ashley Cole kini berada di peringkat akhir rundingan untuk menyertai Derby County sehingga ke akhir musim ini atau untuk terus bersara daripada bola sepak.
Bek kiri berusia 38 tahun itu dikatakan sedang mempertimbangkan secara serius tawaran kontrak jangka masa pendek oleh Derby, sekaligus menyaksikan beliau bergandingan kembali dengan rakan sepasukan di Chelsea, Frank Lampard yang kini merupakan pengurus kelab tersebut.
Penghujung karier
Tidak boleh dinafikan bekas pemain kebangsaan England itu kini berada di penghujung karier setelah turut beraksi di Major League Soccer (MLS) selama tiha musim sebelum ini.
Lampard bagaimana pun yakin; Cole yang dianggap sebagai bek kiri terbaik di generasi tersebut masih mempunyai sesuatu untuk ditawarkan dengan beraksi di Championship.
Sumber dari rakan terdekat Cole berkata peluang untuk beraksi bersama-sama ramai pemain muda berbakat di Derby juga dilihat oleh pemain itu sebagai sesuatu yang menarik. Apatah lagi kedudukan Derby kini yang sedang mengejar slot ke Premier League musim hadapan di bawah kendalian Lampard.
Cole turut dilaporkan berkata faktor kewangan tidak akan mempengaruhi keputusan untuk kembali beraksi sekiranya beliau memutuskan untuk menyambung karier di Pride Park.
Pengalaman
Lampard dan Cole beraksi lapan musim bersama di Chelsea di antara 2006 sehingga 2015, dan kedua-duanya membantu kelab London itu menjuarai kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat kejuaraan Piala FA dan juga Champions League.
Cole sebelum itu telah menjuarai dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal, dan memiliki 107 caps untuk England.
Lampard percaya pengalaman Cole mampu membantu skuad muda Derby meneruskan cabaran untuk layak ke Liga Perdana Inggeris musim hadapan.