Pada ketika Monaco menewaskan Manchester City dan Borussia Dortmund dalam laluan untuk menempah slot ke separuh akhir UEFA Champions League (UCL) pada musim lalu, senario ini hampir pasti membuatkan anggota skuad muda mereka menjadi tumpuan pasukan gergasi eropah yang lain.
Musim panas ini Bernardo Silva dan Benjamin Mendy telah melengkapkan perpindahan ke Manchester City. Tiemoue Bakayoko telah ke London untuk menyertai Chelsea.
Tatkala Thomas Lemar dikaitkan dengan Arsenal sejak penghujung musim lalu, Kylian Mbappe turut dijangka akan berpindah untuk menyayingi rekod perpindahan Neymar dari Barcelona ke Paris Saint-Germain (PSG).
Perkembangan ini bukanlah perkhabaran yang mengejutkan, mengambil kira kecemerlangan Monaco pada musim lepas.
Monaco adalah ‘Selling Club’
Tidak ada pasukan yang memberi perhatian kepada bakat-bakat muda tesebut sebelum ini. Kebanyakkan daripada mereka dibawa masuk ke Stade Louis dengan harga yang cukup murah.
Pembelian pemain muda berbakat oleh Monaco meliputi hampir keseluruhan anggota skuad utama mereka pada musim lalu.
Falsafah dan pelaburan oleh Monaco mulai menghasilkan hasil dan tidak boleh disanggah keberkesannya. Selain daripada Mendy, Silva dan Bakayoko, secara keseluruhan Monaco telah memperolehi keuntungan sebanyak €125 juta daripada model yang mereka terapkan.
Anda boleh rujuk artikel: BERAPAKAH KEUNTUNGAN YANG AS MONACO DAPAT HASIL DARI JUALAN PEMAIN MEREKA? untuk urusniaga pemain kelab tersebut pada musim ini.
Monaco bawa prospek baharu?
Walaupun telah kehilangan pemain dengan nilai melebihi €100 juta, Monaco masih melalui aktiviti jendela perpindahan yang baik.
Mengapakah ia dikatakan sedemikian?
Alasannya mudah. Tatkala pasukan lain seperti PSG sanggup berbelanja besar mengejar pemain yang sudah terbukti kemampuannya, Monaco meneruskan falsafah bola sepak mereka untuk memberi peluang kepada bakat muda tidak dikenali untuk menjadi bintang bola sepak terkenal.
Siapakah prospek baharu Monaco yang wajar kita perhatikan?
Prospek 1: Youri Tielemans (€25 juta Anderlecht)
Pembelian pertama Monaco pada musim panas ini ialah pemain muda daripada Anderlecht, Youri Tielemans. Pemain ini sudah pun dianggap sebagai prospek hangat di eropah untuk beberapa ketika.
Pemain tengah yang berasal dari Belgium ini menjaringkan 13 gol dan menghasilkan 8 bantuan gol dari posisi tengah untuk membantu Anderlecht muncul juara Jupiler Pro League pada musim lalu.
Pada usia 20 tahun, Tielemans sudah pun menjadi antara watak senior dalam skuad kebangsaan Belgium. Tielemans tampil sebanyak 139 kali sepanjang bersama Anderlecht.
Persembahan yang menakjubkan bersama Anderlecht dalam pertandingan UEFA Europa League (UEL), cukup untuk meyakinkan UEFA menyenaraikan Tielemans di dalam ‘Europa League team of the season’ pada musim lalu.
Jumlah €25 juta yang dibayar oleh Monaco kepada Anderlecht jelas satu pelaburan yang berbaloi.
Prospek 2: Terence Kongolo (€13 juta, Feyenoord)
Satu lagi bintang muda yang dibawa masuk oleh Monaco pada musim panas ini ialah Terence Kongolo daripada Feyenoord.
Kongolo adalah salah seorang pemain muda yang menyerlah dan tunjang kepada kejayaan Feyenoord dalam Liga Eredivisie, Belanda pada musim lalu.
Seperti Tielemans, Kongolo juga sudah mulai beraksi untuk pasukan kebangsaan senior negaranya.
Walaupun diarahkan beraksi di luar posisi asal sebagai bek kiri, Kongolo merekodkan statistik 2 terjahan untuk setiap 90 minit perlawanan.
Di sebalik usia baru mencecah 23 tahun, Kongolo disifatkan sebagai berpengalaman, tampil melebihi 100 perlawanan sepanjang bersama Feyenoord walaupun mengalami beberapa kecederaan.
Sebuah laman bola sepak di Belanda menyifatkan perpindahan Terence Kongolo ke Monaco sebagai satu rompakan pemain berpotensi besar dalam dunia bola sepak, mengambil kira Kongolo akan turut menjadi bintang sepertimana Kylian Mbappe, Thomas Lemar dan juga Tiemoue Bakayoko satu hari nanti.
Sepertimana pembelian Tielemans, urusniaga melibatkan Kongolo akan menjadi pelaburan yang menguntungkan buat Monaco.
Prospek 3: Soualiho Meite (€8 juta, Lille)
Satu lagi pembelian musim panas Monaco ialah Soualiho Meite yang dibawa masuk dari Lille dengan harga €8 juta.
Soualiho Meite beraksi bersama Zulte Waregem di Belgium secara pinjaman sepanjang musim lalu. Pemain berusia 23 tahun ini mempunyai ketinggian 6’2, memiliki ketenangan dan kelebihan fizikal di jentera tengah pasukan.
Pembelian Meita dilihat sebagai pengganti terus kepada Bakayoko. Walaupun tidak mendapat tempat di dalam skuad Lille, Monaco yakin 33 penampilan oleh beliau di Belgium telah membantu membentuk pemain ini.
Bekas pemain Perancis B-20 ini jelas mempunyai bakat dan kebolehan persis Nemanja Matic dan Monaco berjaya menewaskan bidaan beberapa kelajb Inggeris untuk mendapatkannya.
Kehadirannya ke Monaco mungkin tidak mendapat tumpuan seperti pemain lain. Tetapi kepulangannya ke Ligue 1 bersama Monaco pada musim ini wajar mendapat perhatian.
Prospek 4: Jordi Mboula (€3 juta, Barcelona)
Pemain berusia 18 tahun ini ialah seorang pemain tengah menyerang dan mempunyai DNA permainan seperti Messi kerana datang daripada akademi bola sepak yang sama, La Masia.
Mboulla menandatangani kontrak untuk bersama Monaco sehingga 2022 dan dijangka akan terus menyertai skuad utama Leonardo Jacim walaupun bukan pilihan utama di Barcelona.
Produk La Masia ini tiba dengan tanda harga €3 juta selepas tidak mahu menyambung kontrak untuk kekal di Nou Camp. Ini adalah kerana Mboula mahukan peluang untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utama yang lebih terbuka bersama Monaco.
Gol solo Mbola ketika menentang Borussia Dortmund dalam saingan UEFA Youth League pada Februari lalu mendapat perhatian ramai dan segera disamakan dengan kebolehan yang dimiliki oleh Lionel Messi.
Lionel Messi dalam pembikinan? Nilai €3 juta adalah sangat murah untuk bakat seperti Mboula.
Prospek 5: Adama Diakhaby (€10 juta, Rennes)
Monaco berkemungkinan akan kehilangan Kylian Mbappe kepada pasukan lain pada jendela perpindahan musim panas ini.
Namun pembelian Adams Diakhaby bermaksud Monaco mahu menghasilkan seorang lagi penjaring prolifik berdarah muda di jentera serangan.
Pemain berusia 21 tahun ini menyertai juara Ligue 1 tersebut dengan nilai perpindahan €10 juta.
Diakhaby menjaringkan 4 gol daripada 25 penampilan pada musim lalu untuk Rennes, termasuk 2 gol dalam kekalahan 3-2 ketika berhadapan dengan Monaco.
“Diakhaby adalah pemain yang pantas dan mempunyai kebolehan teknikal yang baik. Kualiti dan profil pemain ini sesuai dengan projek yang kami sedang laksanakan.”
“Kami yakin Diakhaby akan mencapai potensi sebenarnya bersama AS Monaco,” ujar Timbalan Presiden AS Monaco Vadim Vasilyev ketika mengumumkan pembelian Diakhaby.
Rumusan
5 pemain ini wajar kita perhatikan potensi dan juga pencapaian mereka untuk beberapa musim yang akan mendatang di dalam saingan Ligue 1 Perancis.
Selain daripada 5 prospek di atas, Monaco turut membawa masuk bekas pemain akademi Manchester City, Rony Lopes dan menerima kepulangan pemain akademi yang dipinjamkan ke kelab lain pada musim lalu seperti Adama Traoré dan juga Julien Serrano.
Ingat! AS Monaco adalah juara Ligue 1, layak sehingga ke separuh akhir Champions League, separuh akhir Coupe de France, dan juga finalis Coupe de la Ligue pada musim lalu.
Siapa kata pelaburan ke atas pemain muda tidak memberikan hasil yang lumayan? Beranikah pasukan di Liga Malaysia mempertaruhkan pelaburan ke atas pemain muda?
Tepuk dada tanya selera!
Sumber:
1. Harsh Shah, Goal (2017): Monaco’s revival down to the exuberance of youth; http://www.goal.com/en-india/news/2292/editorials/2015/02/23/9191832/monacos-revival-down-to-the-exuberance-of-youth
2. Igor Mladenovic, The Guardian (2017):How Monaco fashioned a table-topping team from their own academy; https://www.theguardian.com/football/2017/feb/20/monaco-academy-manchester-city-champions-league
3. Jack Pitt-Brooke, INDEPENDENT (2017): Monaco’s transfer policy of buying low and selling high has made the club a true Champions League power at last; http://www.independent.co.uk/sport/football/european/as-monaco-manchester-city-preview-transfer-strategy-a7630216.html