Artikel 88: Genap 6 Tahun Lalu, Tan Sri Annuar Musa Digantung 30 Bulan Oleh FAM

Genap 6 tahun lalu, pada 4 April 2012, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa telah digantung dua tahun setengah oleh badan induk tersebut.

Selain itu, Annuar juga telah hilang status jawatan yang dipegangnya, Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta merta.

Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak telah bersidang selama hampir tiga jam dan juga telah menetapkan tiada rayuan boleh dikemukakan.

Annuar didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari 2012.

Kenyataan Annuar Musa pada 12 Februari 2012

Antara kenyataan Annuar adalah mengenai pengendali skuad kebangsaan ketika itu, Datuk K. Rajagobal yang dirasakan berselindung disebalik alasan ‘bereksperimentasi’.

“Terus terang saya katakan secara peribadi, prestasinya tidak menentu. Dan kadang kala kita dengar alasan-alasan yang tidak semua orang boleh terima.

“Alasan, setiap kali alasan kita kata nak cuba, nak cuba, nak cuba. Bola sepak ini adalah benda yang berjalan sepanjang masa,” ujar Annuar kepada media pada 12 Februari 2012.

“Kita tak boleh kata kita buat ini untuk 4 tahun akan datang, tak boleh. Siapa boleh jamin 4 tahun akan datang kita lebih baik? Sampai bila-bila pun duduk macam tu juga,” tambahnya.

Annuar meragui kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung di Malaysia, pada bulan November itu.

Kritikan ini timbul selepas Malaysia mencatatkan keputusan seri menentang Filipina pada Februari dan juga tewas 4-6 kepada Singapura dalam pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2014.

Rasional penggantungan oleh FAM

Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang telah meneliti rakaman video kenyataan Annuar kepada sebuah stesen televisyen swasta dan telah memberi Annuar ruang untuk pembelaan diri.

Annuar Musa FAM
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufik Abdul Razak. Foto: Sinar Harian.

Pengerusinya, Taufik berkata Annuar didakwa melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan, di mana hanya Presiden FAM yang boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari.

Menurut titah tersebut, Tengku Abdullah menyatakan hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa yang berkenaan.

Artikel 88, Statut FAM menyatakan;

Kecuali bagi siaran biasa kepada akhbar oleh Presiden atau Setiausaha Agung, tiada Pegawai, jurulatih FAM atau pengadil atau mana-mana Ahli atau pemain berdaftar atau pemain yang diambil bermain dengan mana-mana ahli, melainkan diizinkan oleh Kongres, boleh menyumbangkan apa-apa rencana tentang pengurusan hal ehwal FAM, meluahkan kilanan, sama ada diandaikan ataupun sebenar atau hak, kritikan yang bersifat permusuhan terhadap FAM (Ahli).

Annuar Musa adalah ‘mangsa’ ketiga

Mengikut sejarah FAM, penggantungan Annuar ini telah menjadikan dia sebagai individu ketiga yang menerima hukuman daripada FAM selepas mengkritik badan induk tersebut.

Dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Allahyarham Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil pernah digantung kerana mengkritik FAM.

Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin telah digantung untuk tempoh tiga tahun dari tahun 1991 kerana mengkritik FAM. Allahyarham dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara.

Bukan hanya dalam arena bola sepak, Allahyarham juga adalah seorang Ahli Parlimen yang digambarkan sebagai garang dan tegas sehingga mendapat gelaran ‘Singa Dewan Rakyat’.

Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin.

Bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil juga pernah digantung oleh FAM, bukan sekali tetapi dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2006.

Sebagaimana Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin, Allahyarham turut dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara. Dan akibatnya adalah dia telah dihukum oleh FAM.

Pada 2006, Allahyarham didapati mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa kebenaran FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

Menurut Aseh, Allahyarham bukan sahaja mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa kebenaran FAM, malah terdapat kesalahan fakta yang telah dikeluarkan olehnya pada September 2006.

Annuar Musa heret FAM ke mahkamah

Pada Jun 2012, Annuar telah memfailkan saman pemula di pejabat
pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan kedua.

Dalam tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman tersebut tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide.

Oleh yang demikian, selaku plaintif, Annuar ingin mencabar keputusan FAM yang menggantungnya selama 30 bulan daripada aktiviti bola sepak dan mahu ianya diputuskan sebagai tidak sah.

Walaubagaimanapun, mahkamah akhirnya pada April 2013 memutuskan tindakan FAM adalah betul dan tidak cacat kerana persatuan itu mempunyai budi bicara untuk bertindak sedemikian.

Hakim Hadariah Syed Ismail mendapati defendan pertama, FAM telah mematuhi segala prosedur dalam statut FAM dan kod disiplin yang digunakan oleh badan induk tersebut adalah betul.

Penutup

Selepas kes Tan Sri Annuar Musa, tiada lagi kedengaran pemegang jawatan di dalam FAM yang dihukum oleh badan induk tersebut. Mungkin sudah tiada individu yang lantang bersuara?

Ataupun pemegang jawatan di dalam FAM merasa gerun terhadap Artikel 88 jika tampil mengkritik dan memilih untuk mendiamkan diri walaupun terdapat kepincangan di dalam FAM.

Artikel 88, Statut FAM, sememangnya unik kerana hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang dibenarkan bersuara samaada kritikan atau rasa terkilan mengenai hal ehwal di dalam badan induk itu.

Namun, sebenarnya pada Ogos 2013, FAM telahpun meminda Artikel 88 dengan membolehkan para pegawai selain daripada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media.

Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh FAM meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN