Isu ‘Tapping Up’, Tebus Kontrak Dan Klausa Pelepasan, Peguam Sukan Ini Mencadangkan Artikel 15A Dipinda

Peguam Sukan, Zhafri Aminurashid memberikan pandangan beliau tentang Artikel 15A (Peraturan Status & Pemindahan Pemain Malaysia) dengan Klausa Pelepasan. Berikut adalah pandangan beliau:

Artikel 15A dan Klausa pelepasan

“Selamat tahun baru saya ucapkan kepada pencinta bolasepak tanah air. Perkembangan terkini mengenai situasi perpindahan Akhyar ke JDT – jelas memberikan perkembangan terbaru di dalam arena bolasepak yang mana peminat-peminat lebih berminat untuk mengetahui fakta – dan tidak terus dibuaikan dengan pelbagai analogi-analogi aneh yang dikaitkan dengan isu perpindahan Akhyar ini.”

“Pertama saya ingin menyentuh bab berkaitan dengan FAM. FAM sebagai affiliate di dalam FIFA wajib dan harus mengikuti dan mematuhi segala peraturan/undang-undang/arahan pentadbiran yang dikeluarkan oleh FIFA yang berpejabat di Zurich, Switzerland itu.”

“Di dalam soal pentadbiran pemindahan pemain ini telahpun jelas dinyatakan di dalam FIFA Regulations on the Status and Transfer of Players (RSTP). Antara Artikel penting yang berkaitan dengan isu pemindahan ini adalah Artikal 13 iaitu sebuah kontrak yang ditandatangani oleh pemain dan pasukan hanya akan tamat setelah tamatnya tempoh yang dinyatakan di dalam kontrak tersebut atau pun dengan persetujuan bersama.”

“Artikel 14 membenarkan penamatan kontrak sebelah pihak tanpa ada keperluan apa-apa pampasan apabila wujudnya sebab munasabah untuk penamatan kontrak tersebut.”

Seterusnya penulis berpandangan ada satu perbezaan di antara FIFA RSTP dengan Artikel 15A oleh FAM. Beliau menjelaskan:

“Namun pun begitu, perbezaan yang wujud di antara FIFA RSTP dan Peraturan Status dan Pemindahan Pemain Malaysia (PSPP) adalah berkaitan dengan Artikel 15A iaitu satu artikel tambahan yang dibuat oleh FAM bagi membolehkan seorang pemain menamatkan kontrak sebelah pihak pada penghujung musim / sebelum bermula musim baru.”

Kenapa artikel 15A ini wujud?

Zhafri Aminurashid memberikan pandangan peribadi beliau- bahawa artikel 15A ini diwujudkan untuk pemain yang memerlukannya keluar daripada kelab mereka sekiranya perlu.

“Pada hemat saya, Artikel ini dibuat oleh FAM bagi mengelakkan peluang dari berlakunya isu penghambaan terhadap pemain. Sebagai contoh, sekiranya pemain tersebut menandatangani kontrak selama 5 tahun bermula dari 18 tahun dan kontrak tersebut hanya akan tamat selepas pemain tersebut mencapai umur 23 tahun.”

“Jika pada umur 18 gaji pemain tersebut ditawarkan sebanyak RM7,000.00 (dah dikira tinggi untuk pemain berumur 18 tahun) sahaja maka sepanjang 5 tahun tersebut gajinya akan statik dan tiada perkembangan ekonomi yang diperolehi oleh pemain tersebut – walaupun jika pada umurnya 21 tahun beliau telah bermain dengan baik sehingga menarik perhatian pasukan-pasukan lain.”

“Sudah tentu pasukan asalnya tidak akan menjual pemain tersebut kerana gajinya yang murah tetapi mutu permainan yang setaraf dengan pemain bergaji RM60,000-RM80,000 sebulan.”

“Justeru itu, Artikel ini boleh digunapakai untuk pemain jika mengetahui ada pasukan lain yang boleh memberikan gaji yang lebih tinggi dan memberikan sumber ekonomi yang baik.”

“Kita sedia maklum bahawa waktu pemain bolasepak hanyalah di antara 10-15 tahun. Sudah tentu pemain akan memikirkan tentang masa depannya jika dia boleh menerima gaji yang lebih tinggi dari asal. Maka dia boleh menggunakan Artikel 15A ini (untuk keluar daripada majikan semasa).”

Kelompongan Artikel 15A

Zhafri Aminurashid kemudian menyatakan artikel 15A boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu termasuk tapping up. Beliau menjelaskan:

“Namun Artikel (15A) ini akan mengundang berlakunya masalah tapping up player yang mana pasukan baru akan mendorong pemain tersebut untuk menebus kontrak, setelah menjadi pemain bebas pasukan baru akan menandatangani pemain tersebut tanpa perlu membayar yuran perpindahan.”

“Disebabkan itu, pada tahun 2017, FAM telah memperkenalkan Klausa Pelepasan seperti berikut:

“Klausa 8.4; Semasa dalam tempoh sah Kontrak, jika Kelab menerima jumlah yang memenuhi yuran Klausa Pelepasan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual C, Kelab mesti membenarkan Pemain untuk berunding dan memasuki kontrak dengan pasukan baru”

“Klausa 8.4 (i) – Klausa Pelepasan hanya boleh diaktifkan pada akhir musim semasa atau pada permulaan musim baharu. Klausa Pelepasan tidak boleh diaktifkan semasa jendela perpindahan kedua setiap musim.”

“Kesan dan akibat pengenalan Klausa Pelepasan ini, Artikel 15A secara rasminya perlu dipinda bagi membolehkan Klausa Pelepasan ini mempunyai kuasa yang sepatutnya.”

“Di dalam Klausa Pelepasan ini, sekiranya pasukan meletakkan yuran Klausa sebanyak RM1,000,000.00 ke atas seorang pemain, sekiranya pemain tersebut ingin membatalkan kontrak lebih awal; atau pasukan lain berminat untuk menandantangani khidmat pemain tersebut, mereka perlu membayar RM1,000,000.00 kepada pasukan asal untuk membolehkan pasukan baru menandatangani kontrak baru bersama pemain tersebut.”

“Jumlah Klausa Pelepasan ini juga perlu dipersetujui oleh pemain dan pasukan. Jadi, tiada isu pasukan boleh letak jumlah yang tidak munasabah tanpa persetujuan pemain. Pemain pula selepas bersetuju dengan jumlah Klausa Pelepasan tersebut tidak boleh kata tidak adil pula bila nak tebus kontrak.”

“Disebabkan itu, mana-mana pasukan yang meletakkan Klausa Pelepasan di dalam kontrak pemain berhak mendapat jumlah tersebut sekiranya pemain tersebut disambar pasukan lain atau ingin menamatkan kontrak dengan lebih awal.”

“Jadi isu tidak puas hati pada nilai pemindahan tidak akan timbul dan pemain boleh ke pasukan baru tanpa dikenakan apa-apa tindakan kerana menamatkan kontrak dengan lebih awal.”

“Mengenai isu Klausa Pelepasan ini bukanlah baik kerana menghalang wang pemindahan yang lebih besar, kita perlu melihat situasi bolasepak negara sekarang.”

“Adakah wujudnya pembelian pecah tabung yang dilakukan pasukan-pasukan? Oleh itu, pada hemat saya, Klausa Pelepasan ini sudah cukup kuat untuk melindungi pemain dan pasukan pada masa kini.”

Artikel 15A perlu dipinda

Zhafri Aminurashid juga berpandangan, Artikel 15A ini masih boleh digunakan pemain keluar daripada kelab mereka walaupun ada klausa perlepasan. Oleh itu beliau mencadangkan agar, klausa ini dipinda dan memasukkan klausa perlepasan sebagai syarat untuk pemain keluar.

“Artikel 15A perlu dipinda bagi memasukkan jumlah Klausa Pelepasan ini sebagai jumlah pampasan sekiranya pemain ingin menamatkan kontrak dengan lebih awal.”

“Sebab itu saya katakan JDT bijak menggunakan ruang apabila menyedari bahawa KFA menggunakan specimen kontrak tahun 2016 yang mana di dalam kontrak itu sendiri membenarkan penamatan awal dibuat dengan membayar baki kontrak.”

“Itu sahaja.”

“KFA perlu menambahbaik urusan kontrak pemain bagi mengelakkan peristiwa ini berulang.”

“Tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.”

Artikel ini adalah daripada penulisan dan pandangan peribadi oleh Zhafri Aminurashid, Peguam Undang-Undang Sukan di Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & Co. Anda boleh ikuti laman facebook peribadi penulis untuk lebih banyak kupasan seperti ini.

Kredit featured Image: Malay Mail

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN