Arsene Wenger Luah Perasaan Kecewa Terhadap Penyokong Arsenal

Arsene Wenger berkata keputusan untuk meninggalkan Arsenal lebih awal selepas tamat musim ini diambil selepas risau sikap berpuak di kalangan penyokong terhadap kehadirannya di Emirates akan menjejaskan imej kelab di peringkat global.

Bercakap kepada wartawan buat pertama kali setelah pengumuman tersebut, Wenger meluahkan kekecewaan yang dialaminya atas perdebatan mengenai status dirinya bersama kelab yang dianggap sendiri oleh beliau sebagai ‘kelab hidup dan mati’.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Walaupun pada usia 68 tahun, Wenger turut memberi bayangan bakal meneruskan kerja di dalam pengurusan bola sepak. Bagaimanapun, Wenger sendiri sukar membayangkan dirinya akan membimbing sebuah lagi kelab Inggeris pada masa hadapan.

Ketika ditanya sama ada beliau merasa lega apabila tidak terikat lagi dengan Arsenal selepas ini, Wenger menjawab:

“Tidak, kerana saya tidak merasa keletihan. Saya percaya Arsenal adalah sebuah kelab yang sangat dihormati di bahagian lain di dunia. Malah lebih dari apa yang diperolehi di England.”

“Namun penyokong tidak memberi imej yang sepatutnya dengan tidak bersatu sesama sendiri. Itu sesuatu yang boleh memberikan kesan kepada kelab.”

Ketika ditanya lebih lanjut dengan apa yang dimaksudkan, Wenger berkata:

(Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

“Jika gambaran personaliti saya adalah gambaran kepada kelab ini, maka saya harus kekal di sini. Saya berpendapat kelab ini sangat dihormati untuk segala kerja keras, untuk cara kita bermain bola sepak, cara kita mengendalikan kelab ini, dan bagaimana kita melayan seseorang sebagai individu.”

“Tetapi imej yang diberikan kepada kelab ini pada hari ini bukan seperti itu, dan ia juga bukan cara yang saya gemari.”

Apa yang cuba disampaikan oleh Wenger amat mudah difahami. Sejak beberapa tahun lalu kedudukan Wenger sering dipersoalkan di antara kumpulan penyokong yang sentiasa menghargai pencapaian oleh Wenger dan yang mahukan pembaharuan demi kekal kompetitif di dalam bola sepak moden.

Dan protes oleh penyokong Arsenal ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dengan media sosial dan You Tube turut menjadi platform untuk mereka melakukan bantahan.

Lebih daripada itu, terdapat segelintir daripada mereka yang menggunakan acara antarabangsa untuk menyuarakan bantahan dengan banner-banner anti Wenger. Malah Wenger sendiri pernah diselar secara bersemuka ketika berada di jalanan oleh penyokong yang tidak menggemari beliau.

(Photo by Gareth Fuller/PA Images via Getty Images)

Ketika ditanya sama ada perpecahan oleh penyokong telah memberi kesan kepada kelab, Wenger berkata:

“Saya bukan seorang pembenci, dan sama sekali tidak gemar membuat tajuk utama akhbar yang kelihatan bodoh. Saya juga tidak akan membenci penyokong.”

“Ianya tidak ada kaitan dengan apa yang mereka lakukan. Mereka tidak gembira dan saya boleh memahami mengapa. Saya perlu menerima hakikat itu dan menerimanya.”

“Sukan ialah mengenai menang atau kalah- dan hakikat yang perlu diterima ialah anda akan kalah dalam perlawanan walaupun saya sudah tidak lagi berada di sini.”

“Tetapi sebenarnya bola sepak juga adalah mengenai hal yang lebih besar dari menang atau kalah. Ia melebihi aspek kewangan dan keputusan yang diperolehi. Itu yang membimbangkan saya.”

“Ianya mengenai bagaimana kelab ini diterima oleh dunia luar, bagaimana kanak-kanak bermain bola sepak di Afrika, China dan Amerika, dan segala impian yang boleh kita cipta melalui sukan ini.”

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

“Kelab ini mempunyai tanggungjawab untuk melakukan itu. Saya tidak pernah tahu bagaimana perkara sedemikian boleh memusnahkan kelab ini. Tetapi apa yang berlaku sama sekali tidak selari dengan apa yang sepatutnya.”

“Setiap keputusan yang saya lakukan sepanjang tempoh 22 tahun adalah untuk kepentingan kelab ini. Saya percaya bahawa saya telah meninggalkan kelab ini di dalam keadaan yang baik.”

“Itulah matlamat saya sejak menyertai kelab ini, iaitu untuk menyediakan kelab ini melangkau tempoh saya berada di sini.”

Arsenal sudahpun memulakan misi pencarian pengganti Wenger. Walaupun Wenger menegaskan tidak akan masuk campur dalam proses perlantikkan pengurus baharu, beliau yakin bahawa beliau meninggalkan kelab ini dengan asas yang kukuh.

Leave a Reply