Pengurus legenda, Arsene Wenger tanpa berselindung menjelaskan bahawa Liverpool berada di landasan yang tepat untuk menyamai pencapaian rekod tanpa kalah ‘The Invincibles’ diraih skuad bimbingannya, Arsenal ketika menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2003/04.
Meskipun beraksi kurang satu perlawanan berbanding pesaing utama, Leicester City, The Reds kini gah berada di tangga teratas saingan EPL 2019/20 berbekalkan kelebihan 13 mata hasil 18 kemenangan dan satu keputusan seri.
Satu-satunya keputusan seri yang diraih anak buah Jurgen Klopp itu adalah ketika bertemu Manchester United di Old Trafford.
”Mereka sangat hampir untuk melakukannya [tanpa kalah] pada musim lalu dan mereka kini berada di landasan yang tepat.”
”Tetapi saya merasakan apa yang diharapkan oleh Liverpool pada ketika ini adalah memenangi Liga Perdana Inggeris dan itu merupakan sasaran utama bagi bandar bola sepak itu,” ujar Wenger bercakap kepada wakil Goal.
”Untuk bertahan selama 30 tahun tanpa memenangi sebarang trofi Liga Perdana Inggeris, tiada siapa yang menjangkakannya.”
”Itu adalah sasaran utama dan saya merasakan mereka di keadaan yang baik dan berada di laluan yang baik untuk meraihnya pada musim ini kerana pesaing utama mereka sudah jauh tertinggal.”
”Anda lihat kepada jumlah jaringan dihasilkan mereka dan gol yang dibolosi. Mereka sangat bagus. Mereka bermain bola sepak yang pintar, pemain mereka bijak dalam membuat keputusan ketika di dalam padang.”
”Pengalaman saya apabila anda bermain sepanjang musim tanpa sebarang kekalahan, mereka mengumpulkan kepercayaan bahawa sekiranya mereka terus bermain, mereka akan memenangi perlawanan. Itulah perkara yang sangat penting dan mereka memilikinya pada ketika ini.”
Kredit foto: Clive Mason/Getty Images