Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan kehilangan yang bakal dirasai akibat pemergian Alexis Sanchez yang semakin hampir untuk meninggalkan Stadium Emirates tidaklah terlalu pedih sepertimana dihadapi ketika penghijrahan Robin Van Persie ke Manchester United.
Wenger seolah-olah merelakan pemergian pemain antarabangsa Chile itu percaya bahawa para peminat Arsenal turut tidak akan terlalu kecewa tentang berita itu dan menyifatkan apa yang terjadi pada tahun 2012 lebih menyakitkan.
Arsenal dan Manchester United kini sedang dalam proses untuk melengkapkan perpindahan Sanchez dengan Henrikh Mkhitaryan akan menjadi pertukaran kepada pemain berusia 29 tahun yang direkrut dari Barcelona tersebut pada tahun 2014 tersebut.
Arsene Wenger turut tidak berselindung dengan mengatakan proses perpindahan itu semakin hampir untuk diselesaikan.
”Kami membawa masuk Van Persie ketika dia beraksi bersama skuad simpanan di Feyenoord,” kata Wenger dalam laporan yang dikeluarkan The Telegraph.
”Kami telah bekerjasama dengan begitu lama dengan dia (Robin Van Persie), apabila anda membawanya ke sana (Manchester United) dan selepas dia pergi, ianya adalah sesuatu yang sangat menyakitkan.”
Pengurus dari Perancis itu juga mengharapkan agar kehadiran Henrikh Mkhitaryan akan dapat mengimbangi impak daripada pemergian Sanchez ke Manchester United dan turut percaya penyokong setia Arsenal tidak begitu terkesan dengan apa yang dihadapi kelab tersebut ketika ini.
”Penyokong kami mengetahui bahawa Alexis (Sanchez) tidak akan memperbaharui kontraknya. Mereka perlu menerima keadaan itu,” ujar pengendali berusia 68 tahun itu.
”Kami kehilangan seorang pemain, ya, tetapi kami boleh mendapatkan pemain yang lain. Saya fikir seorang pemain akan menggantikannya.”
Setelah lengkapnya perpindahan Alexis Sanchez ke United nanti, ianya bakal menjadikan beliau sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.