Arsene Wenger telah mengesahkan penyerang antarabangsa Perancis, Alexandre Lacazette akan tersisih untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United akibat kecederaan pangkal paha.
Kecederaan tersebut dialami oleh Lacazette ketika Arsenal mencatat kemenangan 5-0 ke atas Huddersfield.
Wenger turut mengesahkan keadaan Alexis Sanchez turut meragukan dan belum dapat dipastikan sama ada akan disenaraikan di dalam skuad yang akan menunggu kunjungan Manchester United pada awal pagi Ahad akan datang..
Lacazette menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan bergaya menentang Huddersfield, namun terpaksa digantikan oleh Olivier Giroud pada permulaan separuh masa kedua.
Wenger mengesahkan kecederaan yang dialami Lacazette selepas kemenangan tersebut, turut menyaksikan Olivier Giroud menjaringkan 2 gol sebagai pemain gantian, manakala Sanchez dan Mesut Ozil masing-masing menjaringkan 1 gol.
“Lacazette mengalami kecederaan di pangkal paha dan pasti akan direhatkan untuk perlawanan pada Sabtu hadapan,” kata Wenger.
Sanchez pula dikeluarkan oleh Wenger ketika perlawanan berbaki 20 minit menuju ke wisel penamat selepas menjaringkan gol ke-3 Arsenal dalam perlawanan itu.
Pemain antarabangsa Chile itu mempunyai sedikit masalah hamstring, tetapi sepatutnya bersedia untuk berhadapan dengan skuad kendalian Jose Mourinho di Emirates nanti.
“Sanchez mengalami sedikit masalah pada bahagian hamstring. Kerana itulah saya mengeluarkannya dari perlawanan. Namun saya fikir, Sanchez akan bersedia untuk perlawanan pada Santu ini,” jelas Wenger mengenai Sanchez.
Wenger turut berkata beliau belum menentukan bagaimana bentuk rangkaian serangan Arsenal tanpa Lacazette dan juga kemungkinan Sanchez untuk perlawanan seterusnya.
Wenger mempunyai ramai pemain untuk diturunkan menggantikan Lacazette dan Sanchez. Di dalam skuad Arsenal, The Gunners masih memiliki Danny Welbeck, Olivier Giroud yang membuktikan ketajaman dalam perlawanan Rabu lalu, dan juga Jack Wilshere.
Dalam perkembangan lain, Wenger turut menyifatkan kecederaan terkini yang menimpa Santi Cazorla sebagai satu tragedi. Bagaimanapun Wenger tetap berharap perancang tengah dari Sepanyol itu sempat kembali sebelum musim ini berakhir.
Baru-baru ini Cazorla mengumumkan beliau terpaksa menjalani pembedahan buat kali ke-9 untuk merawat kecederaan tendon bahagian atas buku lali. Cazorla sudah lebih setahun tidak beraksi untuk Arsenal akibat kecederaan tersebut.
Perancanga asalnya ialah untuk Cazorla kembali menyertai skuad Arsenal pada Januari akan datang. Namun perkembangan terkini ini bermakna Wenger terpaksa bergantung harap kepada Mesut Ozil untuk menggerakkan kreativiti dari bahagian tengah.