Quantcast

BERITA

Arsene Wenger Akui Pernah Tolak Tawaran Kelab EPL

Bekas pengurus yang tidak asing lagi dengan pasukan Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa hubungan erat bersama kelab dari London itu membuatkannya terpaksa menolak beberapa tawaran dari kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas 22 tahun menabur bakti buat Arsenal, Wenger mengambil keputusan untuk meninggalkan Stadium Emirates pada penghujung musim 2017/18 dan tempatnya digantikan pengurus dari Sepanyol, Unai Emery.

”Saya seorang ‘lelaki Arsenal’ dan selepas itu adalah seorang yang profesional. Saya tidak boleh berhenti bekerja.”

”Saya memilih untuk keluar daripada Liga Perdana kerana saya terlalu dikaitkan dengan Arsenal. Saya mempunyai peluang untuk bekerja di England tetapi saya terpaksa menolaknya.”

”Saya tidak mahu menceritakan kepada anda [kelab mana yang memberikan tawaran] kerana terdapat orang yang bertanggungjawab dan ia tidak adil buat mereka.”

Wenger yang kini merupakan pundit di bEIN Sports telah berjaya membantu Arsenal meraih tiga kejuaraan EPL dan juga merangkul tujuh trofi Piala FA.

Sementara itu, keupayaan meraih kejuaraan tanpa sebarang kekalahan ‘The Invincibles’ musim 2003/04 sentiasa akan menjadi buah mulut para peminat Arsenal bagi mengingati serta menghargai sumbangan Wenger buat kelab tersebut.