Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa keyakinan anak buahnya semakin merosot ketika ini dan membuatkan kelab London tersebut menikmati situasi sukar apabila tewas dua kali berturut-turut ditangan Manchester City.
Selepas tewas 3-0 pada perlawanan akhir Piala Carabao, Arsenal sekali lagi menerima kekalahan yang sama awal pagi tadi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Melihat kepada prestasi anak buahnya ketika ini, Wenger yang gemar menggunakan perumpamaan dalam tutur katanya menyifatkan pemain Arsenal meningkat seperti menaiki tangga manakala menurun seolah-olah menggunakan lif.
Keadaan yang merujuk kepada begitu pantas para pemainnya hilang kepercayaan terhadap diri mereka.
”Anda berada di atas dengan menggunakan tangga dan anda ke bawah dengan menggunakan lif. Itu adalah keyakinan. Kerana itulah anda perlu menunjukkan tahap anda untuk berada di Kelab Bola Sepak Arsenal,” kata Wenger.
”Saya tahu pada separuh masa pertama menjadi sukar buat kami kerana mereka hadir dengan keyakinan sebenar selepas perlawanan Ahad lalu (juara Piala Carabao).”
”Mereka hadir dengan minda yang positif dan itu yang membuatkan mereka mengambil kesempatan terhadap kelemahan jentera pertahanan yang kami tunjukkan pada babak pertama.”
”Di akhirnya, kami perlu mengatakan bahawa kami tewas kepada pasukan dengan kualiti yang hebat, merupakan kelab yang terbaik setakat ini dalam negara. Tambahan pula, mereka dilengkapi kombinasi kualiti dan keyakinan yang tinggi.”
”Kami kekurangan keyakinan untuk beraksi pada perlawanan malam (pagi) ini.”
“Selepas itu, kami berjaya mendominasi 20 minit awal pada separuh masa kedua. Kami memerlukan penalti untuk mengekalkan serta mendapatkan sedikit momentum dan ia menjadi ‘pembunuh’ permainan selepas itu.”
”Apabila keyakinan anda tidak berada di tahap yang terbaik, perkara pertama yang akan berlaku adalah ketidakstabilan, gerakan, sisi spontan dalam permainan dan anda dapat melihat pada perlawanan ini.”
”Kami sedang mengalami situasi yang sukar ketika ini. Itulah sebahagian daripada bola sepak.”