Arsenal bangkit daripada kekecewaan akibat tewas ditangan Swansea City pada pertengahan minggu ini setelah berjaya membelasah Everton 5-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Terdapat banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai perlawanan ini terutamanya apabila pembelian termahal kelab, Pierre-Emerick Aubameyang berjaya menghasilkan jaringan pada penampilan sulungnya bersama Arsenal.
Aaron Ramsey pula mencuri tumpuan setelah mencetak jaringan hatrik pertama beliau dalam karier profesional buat pemain antarabangsa Wales itu.
Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi rekrut terbaru kelab London itu, Henrikh Mkhitaryan kembali menjalankan tugasan hakikinya dengan mencipta tiga bantuan jaringan dalam debut di gelanggang sendiri buat beliau.
Serba menjadi buat Arsenal
Arsenal tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Everton yang dikawal Jordan Pickford setelah Ramsey seterusnya menyempurnakan hantaran lintang menarik dari Mkhitaryan pada minit ke-6 permainan.
Berselang lapan minit kemudian, giliran Laurent Koscielny pula meletakkan nama selaku penjaring kedua hasil tandukan rendah yang dilakukan bagi menyambar tandukan yang terlebih dahulu dilakukan Shkodran Mustafi.
Jaringan tersebut masih belum cukup buat anak buah Arsene Wenger apabila Ramsey sekali lagi meledak jaringan untuk gol kedua peribadi beliau pada perlawanan ini.
Bagaikan mendapat tonik yang sangat berguna, tuan rumah terus ghairah untuk menambah jaringan menerusi Aubameyang yang kembali bergandingan bersama Mkhitaryan, rakan lamanya ketika di Borussia Dortmund.
Persefahaman gandingan mereka berdua jelas terserlah apabila lorongan menarik Mkhitaryan mencari Aubameyang berjaya disempurnakan dengan tenang oleh penyerang berusia 28 tahun itu untuk jaringan ke-4 buat Arsenal.
Everton akhirnya mendapat jaringan saguhati pada minit ke-64 menerusi Dominic Calvert-Lewin. Jaringan tersebut hadir tiga minit selepas beliau masuk bagi menggantikan Theo Walcott.
Malam gemilang The Gunners pada perlawanan ini dilengkapkan dengan jaringan penutup dari Ramsey yang melengkapkan hatrik dan gol tersebut turut berpunca daripada hantaran silang dari Mkhitaryan.