Arsenal kalah lagi. Kali ini di tangan Brighton. Sekaligus meneruskan rekod buruk mereka di tempat lawan musim ini. 8 kali mereka tewas di tempat lawan setalat ini dalam EPL.
Ini juga membuatkan Arsenal menjadi pasukan EPL paling banyak kalah pada 2018 setakat ini.
Kekalahan ini adalah ke-4 berturut-turut dalam semua pertandingan. Kemenangan terakhir mereka adalah pada 10 Februari 2018 ke atas Ostersund.
Kali terakhir mereka tewas ‘straight’ 4 kali dalam semua pertandingan adalah pada 2002 iaitu 16 tahun lalu.
Brighton di hadapan menerusi Lewis Dunk yang menerima hantaran daripada Shane Duffy pada minit ke-7.
Pada minit ke-26, Brighton menambahkan lagi gol menerusi Glenn Murray.
Arsenal berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain termahal dalam sejarah kelab mereka, Pierre Emerick Aubameyang, 2 minit sebelum rehat.
Arsenal bergelut pada separuh masa pertama. Brighton lebih banyak menghadirkan ancaman di depan gol.
Pada separuh masa kedua Arsenal lebih banyak mencipta peluang. Namun tiada gol berjaya dihasilkan.
Kekalahan ini adalah yang ke-10 dalam kalendar liga Arsenal musim ini. Mereka kekal di tangga ke-6. Harapan untuk ke UCL menerusi slot EPL semakin sukar.
Nak tak nak Arsene Wenger harus mencuba sedaya upaya mara ke UCL dengan tiket juara UEL. Meskipun beliau terang-terangan menentang idea ini.
Brighton berjaya menjarakkan diri 6 mata daripada zon penyingkiran. Ianya adalah kemenangan sangat penting untuk pendatang baru EPL ini.