Daily Mail melaporkan, Arsenal kini sedang bersiap sedia untuk membuat proses ‘baik pulih’ pasukan secara besar-besaran bermula pada jendela perpindahan Jun depan.
Sekiranya benar, ini merupakan kali pertama ianya akan dilakukan secara besar-besaran semenjak 21 tahun Arsenal dibawah kendalian Arsene Wenger.
Peranan Arsene Wenger
Sebagai pengurus, Arsene Wenger sebelum ini mempunyai kuasa dalam menentukan dasar perpindahan pemain di Arsenal.
Masih menjadi tanda tanya samaada Wenger masih memiliki kuasa tersebut selepas kehadiran barisan pengurusan baharu antaranya Sven Mislintat, Raul Sanllehi dan Huss Fahmy.
Arsenal telah melantik Mislintat sebagai ketua pemantau bakat, Sanllehi sebagai ketua perhubungan bola sepak (pengarah bola sepak) dan Fahmy, seorang peguam, untuk menguruskan urusan kontrak di Emirates.
Kehadiran tiga individu yang mempunyai latar belakang yang hebat ini mungkin menandakan akan bermulanya era baharu buat Arsenal. Struktur ketinggalan zaman Arsenal akhirnya akan dimodenkan.
Wenger pernah menyatakan tidak bersetuju atas perubahan sistem yang akan berlaku. Menurutnya melalui artikel yang disiarkan oleh The Guardian, dia tidak memahami tugasan sebenar seorang pengarah bola sepak.
“Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan pengarah bola sepak.”
“Saya pengurus Arsenal dan selagi saya adalah pengurus Arsenal, saya yang akan putuskan apa yang akan berlaku di bahagian teknikal pasukan. Itu sahaja,” tegas Wenger.
Ivan Gazidis mahu bantu tugas Wenger
Dibebani dengan pelbagai tugas, Wenger mungkin memerlukan bantuan tambahan. Ketua eksekutif, Ivan Gazidis (gambar bawah) dilihat cuba membantu Wenger di bahagian yang mungkin diperlukan oleh pengurus tersebut.
Ini kerana, terdapat ramai pegawai yang akan merujuk kepada Wenger untuk memberikan laporan selain para jurulatih, termasuklah pengurus kemudahan kelab sehinggalah kepada kakitangan kitman.
Dan jika tugasan-tugasan ini dibahagikan, Gazidis percaya Wenger akan dapat lebih fokus terhadap tugasannya sebagai pengurus Arsenal dan dapat mengurangkan beban terhadap tugasan lain.
Sebagai contoh, pengarah bola sepak atau pengarah sukan akan bertanggungjawab untuk mengikuti perkembangan dalam analisis dan sains sukan.
Pembentukkan pasukan rekrut baharu
Seperti yang dijelaskan dalam artikel perlantikan Mislintat sebelum ini, tugas ‘Mata Berlian’ itu adalah untuk mengenalpasti pemain yang berpotensi untuk ditandatangani.
Prestasi cemerlangnya bersama Borussia Dortmund sebelum ini pasti akan membantunya dalam membentuk pendekatan dalam mencari dan mengenalpasti bakat baharu untuk The Gunners.
Bekas pengarah bola sepak Barcelona, Raul Sanllehi pula telah sah menyertai Arsenal pada November lalu dan dijangka akan memulakan tugas pada Februari depan.
Walaupun jawatannya kini dikenali sebagai ketua perhubungan bola sepak, namun Independent menyatakan tugasnya di Arsenal adalah hampir sama dengan tugasnya sepanjang 9 tahun ketika bersama Barcelona.
Dan sebagai peguam bertauliah, Fahmy akan menguruskan soal kontrak pemain dan berkemungkinan besar akan berkerja rapat dengan Sanllehi dalam proses melakukan rekrut pemain.
Boleh dikatakan, Mislintat, Sanllehi dan Fahmy akhirnya telah melengkapkan satu pasukan untuk melakukan rekrut yang akan membentuk generasi baharu Arsenal di masa hadapan.
Terkini dari Emirates, 10 pemain dalam status ‘ketidakpastian’
Menurut laporan Daily Mail, sehingga 10 pemain utama The Gunners kini dalam status ketidakpastian status dan masa hadapan mereka di kelab itu menjelang jendela perpindahan pada Jun depan.
Ketua pemantau bakat, Sven Mislintat dikhabarkan sudah memulakan perancangan menuju bulan Jun yang ‘sangat sibuk’ dengan transaksi keluar masuk pemain.
Alexis Sanchez sudah hampir pasti akan meninggalkan Arsenal pada Januari depan ataupun akan dilepaskan secara percuma pada penghujung musim ini.
Arsenal dikatakan mahu segera melepaskan Sanchez dengan sumber dalaman menyatakan dia menjadi punca utama gangguan dan keretakan di dalam pasukan ketika ini.
Walaupun masih cuba meyakinkan Mesut Ozil untuk terus kekal di Arsenal, namun jika segala usaha tersebut gagal, Ozil turut akan meninggalkan pasukan secara percuma pada Jun depan.
Pihak pengurusan kelab juga sedang berusaha gigih untuk menawarkan lanjutan kontrak kepada Aaron Ramsey dan Danny Welbeck, dimana kontrak kedua-dua pemain akan berakhir pada 2019.
Dan jika ianya juga berakhir dengan kegagalan, Arsenal perlu segera melepaskan kedua-dua pemain tersebut kepada kelab lain sebelum mereka bebas untuk meninggalkan kelab secara percuma selepas tamat kontrak.
Pemain-pemain lain yang turut belum mempunyai ketentuan masa hadapan bersama Arsenal ialah tongak pertahanan Per Mertesacker, pemain tengah Santi Cazorla dan Jack Wilshere, serta penyerang Olivier Giroud dan Theo Walcot.
Ini mungkin antara fasa paling menarik yang pernah berlaku di kem Arsenal sepanjang 21 tahun Arsenal dibawah kepimpinan Arsene Wenger.
Perubahan struktur yang dijanjikan Ivan Gazidis sudah dilaksanakan secara berperingkat dan ianya dijangka akan mula menampakkan bentuknya pada musim hadapan.
Ya, Wenger telah berjaya dalam misi untuk kekal bersama Arsenal apabila telah menandatangani kontrak baharu. Namun dengan penyertaan muka-muka baharu ini, Wenger perlu memberikan sedikit ‘ruang’ buat pasukan baru ini menjalankan tugas mereka.
Kesimpulan
Persoalannya sekarang ialah, adakah Arsenal akan menjadi sebuah kuasa besar di masa hadapan dengan perubahan-perubahan ini?
Atau anda bersetuju dengan kenyataan Wenger pada Mei lalu: “Adakah ini satu kemajuan atau kemunduran?”
Kita yakin bahawa angin perubahan bakal berlaku di Emirates selepas ini. Tetapi perubahan yang bagaimana? Perubahan boleh jadi dalam bentuk dua hala.
Apa pendapat penyokong Arsenal? Kami mahu mendengarnya daripada anda.