Semalam Arsenal mengumumkan keputusan untuk menamatkan kontrak pekerjaan 55 staf mereka, termasuk peninjau bakat ternama Francis Cagigao, sebagai salah satu langkah menangani impak ekonomi akibat wabak COVID-19.
Keputusan sebut diumumkan oleh Raul Sanllehi, Pengarah Bola Sepak kelab dan Vinai Venkatesham, Pengarah Urusannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka, keputusan ini terpaksa diambil susulan pengurangan jumlah pendapatan kelab yang menurun akibat covid-19.
Antara pendapatan Arsenal yang terjejas teruk adalah duit hak penyiaran, aktiviti hari perlawanan seperti duit perbelanjaan klien korporat untuk servis hospitaliti dan aktiviti aktiviti komersial seperti penajaan.
Mereka juga menjelaskan disebalik langkah penjimatan, pemotongan gaji pemain dan staf, dan suntikan kewangan daripada pemilik Arsenal, iaitu KSE Group, kelab utara London itu masih perlu memecat 55 staf mereka.
Tindakan Arsenal ini jelas merosakkan moral kelab mereka yang sedang tinggi susulan kejuaraan FA Cup 2020 baru-baru ini.
Wartawan The Athletic, David Ornstein melaporkan pemain-pemain Arsenal berang dengan tindakan kelab itu yang dilihat memungkiri janji. Ini kerana pada bulan April lepas, pengurusan kelab berjanji tidak akan memecat mana-mana staf jika setiap pemain dan staf kejurulatihan Arsenal bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak 12.5%.
Menurut Ornstein, pemain-pemain Arsenal akan membangkitkan isu ini kepada pihak pengurusan.
Sementara itu wartawan Sky Sports, Kaveh Solhekol pula berkata adalah tak wajar [Mesut] Ozil dibayar sebanyak £350,000 seminggu tanpa bermain, sedangkan 55 staf ini kehilangan pekerjaan.
Daily Mail pula melaporkan salah seorang daripada 55 staf yang dipecat adalah Francis Cagigao, ketua peninjau bakat (scout) antarabangsa Arsenal.
Cagigao merupakan peninjau bakat yang bertanggungjawab menemui Cesc Fabregas, Hector Bellerin, dan Gabriel Martinelli. Warga Sepanyol ini dilaporkan telah bekerja untuk The Gunners selama lebih 20 tahun.
Selain Cagigao, turut dipecat adalah ketua peninjau bakat UK Arsenal, Peter Clark dan staf bawahannya Brian McDermott.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Arsenal Supporters’ Trust memberitahu:
“AST sedih apabila mendengar berita 55 staf kelab telah dipecat. Pemain Arsenal telah menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan kelab dengan mengambil pemotongan gaji secara sukarela. Pada ketika itu kami telah berharap agar langkah penjimatan ini dapat memastikan semua staf Arsenal dibela ketika waktu sukar.
“Adalah penting untuk memastikan semua staf yang telah dipecat diberikan sokongan sebanyak mungkin dari segi pakej pampasan pembatalan kontrak pekerjaan. Kami akan menghubungi Arsenal untuk memberi penekanan terhadap isu ini.”