Dengan cabaran Arsenal pada musim 2015/2016 nampak sudah berakhir (jika anda tidak mengambil kira peluang kecil Arsenal menjuarai liga dengan mengharapkan Leicester City dan Tottenham Hotspur melepaskan mata), Arsene Wenger nampak sudah berkira-kira untuk melakukan rombakan di jentera tengahnya.
Antara calon pemain baru yang diburu Wenger menurut laporan The Guardian, adalah Henrikh Mkhitaryan. Arsenal dilaporkan telah menghantar staf peninjau bakat mereka ke Jerman untuk melihat Mkhitaryan dan seorang pemain Borussia Mönchengladbach.
Henrikh Mkhitaryan yang hampir-hampir menyertai Liverpool atau Tottenham Hotspur semasa beliau masih bergelar Shakhtar Donetsk, mempunyai baki kontrak setahun lagi di Dortmund sehingga Jun 2017.
Borussia Dortmund dilaporkan telah memulakan usaha untuk melanjutkan kontrak baru untuk perancang Armenia berusia 27 tahun itu sejak Januari 2016.
Sejak berpindah ke Dortmund dari Shakhtar dengan yuran perpindahan £23.5 juta, Mkhitaryan muncul pemain penting mereka, terutamanya pada musim ini, apabila berjaya menjaringkan 20 gol secara keseluruhan.
Laju, mempunyai kemahiran teknikal yang sangat baik dan tajam di depan gol, Mkhitaryan juga boleh bermain di mana-mana posisi tengah menyerang di belakang penyerang tunggal.
Dengan Mikel Arteta, Mathieu Flamini dan Tomas Rosicky yang dijangka tidak akan diberikan kontrak baru dan bakal meninggalkan Arsenal pada musim panas ini, kelab utara London itu nyata memerlukan beberapa pemain tengah baru.
Selain Mkhitaryan, Arsene Wenger juga mahukan Granit Xhaka. Pemain tengah defensif Borussia Mönchengladbach itu mempunyai kekuatan fizikal yang baik beserta skil dan kebolehan membaca perlawanan dengan baik.
Ketua jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic sanggup menggugurkan Gökhan Inler dalam perlawanan persahabatan Switzerland baru-baru ini kerana percaya Xhaka boleh menjadi pemimpin dalam skuadnya.
Masa depan Kieran Gibbs di Arsenal juga diragui selepas media UK melaporkan Wenger turut berminat dengan bek kiri Portugal, Raphaël Guerreiro yang bermain di Lorient.
Guerreiro yang turut boleh bermain sebagai pemain sayap kiri dilaporkan bakal menyertai Arsenal selepas peninjau bakat Arsenal, Gilles Grimandi dilaporkan telah beberapa kali memerhatikannya di Perancis.
Malah status Lorient sebagai feeder club untuk Arsenal juga menjadikan mereka sebagai calon utama untuk menandatangani Guerreiro.
Baca juga: Akaun Twitter Rasmi Arsenal Dan Barcelona ‘Bergaduh’ Tentang Thierry Henry