Beberapa laporan media di Sepanyol menyatakan bahawa Denis Suarez akan melengkapkan perjanjian pinjaman ke Arsenal dengan opsyen pembelian tetap. Nilai tebus untuk klausa perjanjian tetap itu dilaporkan sekitar £25-30 juta.
Cadena Ser pula melaporkan bahawa pemain muda itu sudah setuju untuk melanjutkan kontrak dengan Barcelona. Dan selepas memeterai perjanjian itu beliau dibenarkan untuk ke Arsenal.
Sebelum ini rundingan antara Barcelona dan Arsenal dilaporkan gagal. Ini selepas Barcelona tidak berpuas hati dengan beberapa klausa yang dicadangkan oleh Arsenal.
Laporan media di England menyatakan bahawa Unai Emery terpaksa secara peribadi berbincang dengan pihak Barcelona dan juga Denis Suarez. Unai Emery dan Denis Suarez pernah bekerjasama ketika di Sevilla satu ketika dahulu.
Sebelum ini Unai Emery menjangkakan bahawa; tidak ada pembelian secara tetap dilakukan dalam jendela perpindahan kali ini. Arsenal hanya akan mempertimbangkan perjanjian pinjaman.
Unai Emery mahu memperkuatkan lagi bahagian tengah beliau. Denis Suarez dilihat sebagai pemain yang boleh memperbaiki aspek taktikal beliau di tengah kerana kelincahan dan juga visi dalam permainan.
Laporan di Itali pula menyebut; Inter Milan menolak tawaran Arsenal untuk meminjam Ivan Perisic dengan opsyen pembelian tetap.
Hal ini kerana Inter Milan sebelum ini menerima surat permohonan pindah daripada Perisic. Namun pemain itu tidak menyatakan secara spesifik ke mana kelab yang beliau mahukan. Oleh sebab itu Inter Milan hanya mempertimbangkan tawaran pembelian tetap sahaja.