Arsenal telah memberitahu Aaron Ramsey tidak akan mendapat kontrak baru, sekaligus menjadi indikasi pemain tengah itu sudah tidak diperlukan di Stadium Emirates pada musim hadapan.
Pada minggu lalu Ramsey memberitahu media di UK bahawa beliau tidak diberitahu mengapa tiada kontrak baru ditawarkan kepada beliau.
Berikutan itu, wakil kelab dikatakan telah menemui Ramsey untuk memaklumkan tiada lagi perbincangan akan dilakukan, dan kontrak beliau bersama The Gunners akan berakhir pada penghujung musim ini.
Perbincangan tersebut telah mengambil tempat baru-baru ini, dan turut dilaporkan oleh Sky Sports
Pendirian Arsenal mengenai status pemain itu bermakna Ramsey akan menjadi pemain bebas selepas kontrak beliau tamat pada musim hadapan.
Prospek untuk pemain itu meninggalkan Stadium Emirates seawal Januari juga seperti tidak akan mungkin berlaku.
Situasi ini akan membenarkan Ramsey menerima bayaran bonus kontrak (singing-on fee) yang lebih tinggi pada musim panas nanti. Kelab-kelab juga tidak akan sanggup membayar nilai yang tinggi pada Januari, kerana mengetahui boleh mendapatkan pemain itu secara percuma enam bulan kemudian.
Unai Emery sebelum ini menyifatkan Ramsey sebagai pemain utama di dalam pelan beliau membina kembali Arsenal selepas mengambil alih pasukan itu dari Arsene Wenger pada Mei lalu.
Namun demkian Ramsey dilihat sekadar berada di bangku simpanan dalam beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris, dan berada di belakang beberapa pemain seperti Alex Iwobi dan Lucas Torreira.
Emery mengelak soalan mengenai kontrak Ramsey selepas melihat pasukan kendaliannya menewaskan Blackpool 2-1 pada awal pagi tadi di saingan Piala Carabao.
Namun jurulatih dari Sepanyol itu berkata beliay tetap yakin akan fokus yang diberikan oleh Ramsey kepada pasukan.
Buat masa ini ia seperti karier Ramsey bersama Arsenal bakal berakhir. Ke manakah hala tuju beliau selepas ini?