Bintang muda bola sepak negara iaitu Arif Aiman Hanapi ada kemungkinan bakal mengikut jejak langkah rakannya, Luqman Hakim Shamsudin untuk menyertai salah satu kelab di Eropah.
Menerusi kenyataan dikongsikan oleh Tan Sri Vincent Tan pada Harian Metro, beliau sedia menawarkan bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk menyertai salah satu pasukan di Eropah jika segalanya mampu berjalan lancar.
Walaupun begitu, taikun tersebut menyerahkan segalanya kepada pasukan itu jika mereka mahu atau tidak melepaskan Arif pada masa akan datang.
“Sudah tentu dia terikat kontrak dengan JDT, kalau JDT sanggup lepaskan saya sedia pertimbangkan,” ujar beliau menerusi perkongsian dibuat oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Vincent Tan juga memberi bayangan mungkin akan memberi kontrak lumayan buat bintang bola sepak Malaysia itu berbanding apa ditawarkan oleh salah satu pasukan di Iran sebelum ini, Persepolis.
Jika Arif sudi mencipta kerjasama dengan Vincent Tan, ini bermakna beliau bakal mengikut jejak langkah Luqman untuk beraksi di Eropah serta mengembangkan karier dalam dunia bola sepak.
Arif with his second tonight, our third#TERvJDT#WhatCanYouDo#TheTMJeffect#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/62T97hKCwy
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 17, 2025
Terdahulu, hasil bantuan Vincent Tan menyaksikan Luqman Hakim mencipta sejarah tersendiri menyertai salah satu kelab terkemuka di Belgium iaitu K.V Kortrijk dan sehingga kini pemain tersebut masih memiliki kontrak bersama pasukan berkenaan.
Umum mengetahui kini nama Arif sedang mekar berkembang di pentas antarabangsa, apabila beberapa kelab dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
Antara paling heboh diperkatakan kini sudah tentu mengenai salah satu pasukan di Iran iaitu Persepolis yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain sayap lincah tersebut.
Selain itu, peminat pasukan di Scotland iaitu Rangers FC juga tertarik akan kualiti dipamerkan oleh Arif dan menggesa kelab itu menandatangani khidmat pemain tersebut.
Sehingga kini, Arif kekal menjadi pemain Malaysia yang mendapat tarikan tersendiri buat kelab-kelab gergasi di luar negara selepas apa ditampilkan beliau bersama Harimau Selatan dan skuad kebangsaan.
Arif bukan sahaja bersinar di pentas domestik, malah beliau kini mencipta sensasi tersendiri bagi kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) untuk menjadi antara penjaring terbanyak saingan itu.
Tampil dengan kualiti daripada segi kepantasan, kawalan bola, dan ketajaman, maka tidak hairan mengapa kebanyakan kelab menyimpan hasrat untuk cuba mendapatkan Arif bersama mereka.