Bintang bola sepak Malaysia iaitu Arif Aiman Hanapi antara yang tampil mendoakan supaya Feroz Baharudin kembali sembuh daripada kecederaan, setelah pemain itu memuat naik di Instagram semalam.
Terdahulu, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilaporkan mengalami kecederaan apabila beliau memuat naik suatu kenyataan bersama gambar yang di’edit’ bersama warna hitam putih di Instagram.
Pada awalnya, ramai tidak memahami mengenai situasi dihadapi Feroz sehingga beberapa spekulasi dibuat oleh peminat sebelum rakan-rakan pemain lain mendoakan tonggak pertahanan itu kembali sembuh.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Berita Harian, Feroz dilaporkan mengalami kecederaan sewaktu menjalani sesi latihan bagi persiapan perlawanan akan datang dan dijangka terpaksa berehat panjang.
GOL!
Feroz Baharudin 73'
JDT 2 – 1 Terengganu #DemiLigaKita #PialaMalaysia2023 pic.twitter.com/3YDVKX7ADi
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 8, 2023
“Difahamkan tonggak pertahanan skuad Harimau Selatan, Feroz Baharudin mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan bakal melupakan aksi saingan liga elit domestik dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.
“Berdasarkan perkembangan terbaru itu, Feroz tergolong bersama Shio Hong Wan dan Syahmi Safari yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sekali gus memaksa kedua-duanya tersisih bersama skuad Harimau Selatan,” ujar laporan berkenaan.
Di media sosial, kebanyakan pemain menzahirkan rasa simpati dan mendoakan supaya pertahanan Harimau Malaya itu kembali sembuh semula.
Arif Aiman, Adib Raop, dan kebanyakan rakan sepasukan Feroz sendiri tampil memberi semangat kepada Feroz untuk tabah mengharungi episod duka tersebut.
Malah, kapten Terengganu iaitu Safawi Rasid turut tampil memberi semangat kepada Feroz di ruangan komen selain pemain-pemain lain turut melakukan perkara sama.
Musim ini menyaksikan Feroz telah pun beraksi sebanyak 23 perlawanan bersama JDT untuk pentas domestik serta kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE).
Pemain ini turut merekodkan empat gol secara keseluruhan dan menampilkan aksi cukup menyakinkan selaku pertahanan tempatan masa depan negara.
Tahun lalu bersama Malaysia, Feroz turut mencipta satu bantuan jaringan selain mempamerkan kualiti permainan yang baik bersama rakan sepasukan lain terutama pada aksi menentang Filipina.
Kami mendoakan supaya Feroz kembali sembih serta tampil kembali dengan lebih kuat selain membanggakan kelab dan menjulang nama Harimau Malaya.