Argentina bakal menghadapi satu lagi aksi persahabatan di Asia selepas mengharunginya buat pertama kali tahun ini menentang Australia dengan kemenangan berjaya dilakar.
Pada perlawanan tersebut, Argentina tidak menghadapi begitu banyak kesukaran untuk menewaskan Australia menerusi keputusan penuh 2-0 hasil jaringan Lionel Messi serta German Pezella di Beijing, China.
Timnas Argentina sudah tiba di Indonesia
📸 @Argentina pic.twitter.com/UAcWidALIQ— FaktaBola (@FaktaSepakbola) June 16, 2023
Untuk aksi seterusnya, mereka bakal menentang salah satu gergasi Asia Tenggara iaitu Indonesia dengan perlawanan bakal diadakan di Jakarta serta bakal dihadiri ribuan penyokong Sang Garuda.
Sebelum ini, laporan telah pun menyatakan bintang dunia Lionel Messi tidak akan tiba di sana untuk turun beraksi dan mendapat maklum balas kurang menyenangkan daripada penyokong Indonesia.
Apa tidaknya, rata-rata penyokong di sana sejak sekian lamanya mengharapkan pemain tersebut untuk turut beraksi dan kini impian tersebut tidak kesampaian.
Walaupun Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir sudah pun memberi kenyataan, ianya masih sukar diterima para penyokong di sana.
Terbaharu, pasukan tersebut juga menyataka. mereka bakal tampil dengan kesebelasan utama berbeza untuk aksi bertemu Indonesia berbanding ketika menentang Australia.
Pada aksi bertemu Australia lalu, Lionel Scaloni telah pun menurunkan rantaian pemain terbaik beliau seperti Emiliano Martinez, Nicolas Otamendi, Marcos Acuna, Angel Di Maria, Alexis Mac Allister, sehingga kepada Lionel Messi.
Namun pengesahan terkini menyaksikan tiga pemain utama pada perlawanan lalu iaitu Otamendi, Di Maria, serta Lionel Messi sudah pun dihantar pulang lebih awal untuk tidak menyertai Argentina ke Jakarta.
Selain itu, Scaloni juga turut menyatakan beliau bakal tampil dengan sedikit rombakan untuk menghadapi cabaran Indonesia tidak lama lagi.
“Kami merancang untuk menukarkan semua pemain utama secara menyeluruh dan memberi peluang buat bintang-bintang muda pula untuk beraksi.
“Mereka layak mendapat peluang tersebut dan kami juga memerlukannya untuk menambah kualiti dalam kalangan para pemain,” jelas Scaloni menerusi CNN Indonesia.
Walaupun tidak berkesempatan untuk melihat kelibat Lionel Messi, pasukan tersebut berpeluang untuk melihat bintang muda Manchester United iaitu Alejandro Garnacho serta beberapa lagi pemain muda jarang mendapat minit permainan bersama Argentina.